
KUALA LUMPUR - Sistem Alamat Nasional (NAS) yang giat dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal menjadi platform bersepadu bagi rekod data 12 juta alamat yang lebih seragam dan menyeluruh di negara ini, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurutnya, ketiadaan satu entiti yang mempunyai liputan secara menyeluruh untuk menyelaras penyimpanan data alamat yang tidak mengikut piawaian, tidak sahih dan tidak berpusat membawa kesan nyata dalam urusan harian.
Fahmi berkata ini termasuk penghantaran yang tidak sampai atau tertangguh, kelewatan dalam tindak balas kecemasan, cabaran dalam perancangan utiliti dan infrastruktur, serta halangan kepada pertumbuhan e-dagang dan kurier.
"NAS merupakan satu sistem alamat yang bersifat autoritatif, berpiawai dan berpusat yang akan menghimpunkan alamat secara seragam, mengikut piawaian Jabatan Standard Malaysia iaitu MS2039.
"Setiap alamat dalam sistem ini akan digeokod dan diberikan pengecam lokasi unik bagi memastikan keseragaman, ketepatan dan keserasian dalam pelbagai sektor," katanya dalam ucapan ketika merasmikan Persidangan Alamat Nasional 2025 anjuran MCMC di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata pelaksanaan NAS akan membawa pelbagai manfaat nyata pada rakyat Malaysia dengan mengambil kira pelbagai jenis penempatan di Malaysia termasuk kawasan Felda, kampung tradisi, rumah panjang dan rumah atas air.
"Sebagai contoh dalam situasi banjir atau kebakaran, pasukan penyelamat dapat mengenal pasti lokasi mangsa dengan lebih cepat dan tepat," katanya.
Tambahnya, NAS bukan sekadar menyelesaikan cabaran semasa, malah dijangka membawa kesan limpahan sosioekonomi yang besar termasuk peningkatan produktiviti, penciptaan pekerjaan dan peningkatan daya saing negara.
"Menerusi dapatan awal Kajian Pelaksanaan NAS, kesan limpahan ekonomi adalah sebanyak RM2 billion dan bakal mewujudkan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan baharu di pasaran dalam tempoh lima tahun," katanya.
Persidangan Alamat Nasional 2025 selama dua hari, bermula semalam, menyaksikan 15 sesi pembentangan yang membariskan penceramah daripada dalam dan luar negara.
Ia dihadiri lebih 500 peserta terdiri daripada sektor kerajaan, swasta, akademia dan orang awam.
Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, bagi menjayakan pelaksanaan NAS, kementerian telah mengarahkan MCMC melaksanakan Pelan Anjakan NAS yang akan bermula dengan Projek Perintis di kawasan terpilih dari segi tadbir urus, teknikal, pentadbiran dan integrasi data oleh agensi berkaitan.
"Saya berharap Pelan Anjakan NAS diguna pakai oleh semua agensi dan industri untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih berorientasikan digital.
"NAS bukan sekadar projek teknologi, malah merupakan asas kepada transformasi perkhidmatan awam, pengukuhan ekonomi digital, dan peningkatan kesejahteraan rakyat,'' katanya. - 17 Julai, 2025
The post NAS mampu selesai isu alamat tidak seragam, jana RM2 billion limpahan ekonomi: Fahmi appeared first on Scoop.


