Sistem Alamat Nasional bakal selesai isu alamat tidak seragam, cipta 2,000 peluang kerja - Fahmi

17/07/2025 - 12:41
Datuk Fahmi Fadzil (tengah) ketika menghadiri Persidangan Alamat Nasional berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini / Gambar BERNAMA Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 17 Julai 2025 – Sistem Alamat Nasional (NAS) yang sedang dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal menjadi platform bersepadu untuk rekod data 12 juta alamat di negara ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ketiadaan entiti yang menyelaras maklumat tersebut secara menyeluruh dan berpandukan piawaian standard ketika ini telah memberi implikasi terhadap pelbagai sektor.
Beliau berkata, antara masalah yang timbul ialah kelewatan penghantaran barang, kesukaran dalam menyampaikan bantuan hal-hal kecemasan serta mengganggu perancangan infrastruktur dan pertumbuhan e-dagang.
Katanya, siap nanti, NAS akan berfungsi sebagai sistem alamat berpusat, berpiawai dan digeokod, sejajar dengan piawaian MS2039 yang ditetapkan oleh Jabatan Standard Malaysia.
“Setiap alamat juga akan diberikan pengecam lokasi unik, membolehkan pelbagai sektor awam dan swasta menggunakan data lokasi yang seragam .
“Contohnya dalam situasi banjir atau kebakaran, NAS akan membolehkan pasukan penyelamat mengenal pasti lokasi mangsa dengan lebih tepat dan pantas.
“Begitu juga dalam e-dagang dan logistik, penghantaran dapat dilaksanakan lebih cekap dan mengurangkan kesilapan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Alamat Nasional 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Persidangan anjuran MCMC yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu dihadiri lebih 500 peserta terdiri daripada sektor kerajaan, industri, akademia dan orang awam. Ia turut dihadiri wakil penceramah antarabangsa dari United Kingdom dan Australia yang berkongsi pengalaman dalam pelaksanaan sistem alamat nasional di negara masing-masing.
Mengulas lanjut, beliau berkata, NAS turut menjadi antara komponen utama (needle mover) dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar Revolusi Industri Keempat (4IR) Negara, sekaligus menyokong aspirasi Kerajaan MADANI untuk menjadikan Malaysia sebagai negara digital yang berpendapatan tinggi.
Tambahnya, pelaksanaan NAS dijangka memberi limpahan ekonomi sebanyak RM2 bilion dalam tempoh lima tahun serta mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu, terutamanya dalam sektor logistik, kurier, data dan penyampaian perkhidmatan awam.
Bagi menjayakan pelaksanaan NAS, kementerian telah mengarahkan MCMC melaksanakan Pelan Anjakan NAS yang akan bermula dengan projek perintis di kawasan terpilih.
Fahmi berkata, pelan ini akan menilai aspek tadbir urus, teknikal, pentadbiran dan integrasi data agensi berkaitan, dengan mengambil kira kepelbagaian jenis penempatan di Malaysia termasuk kawasan FELDA, kampung tradisi, rumah panjang dan rumah atas air.
“Pelaksanaan NAS memerlukan sokongan menyeluruh daripada agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat utiliti, penyedia logistik dan rakyat Malaysia secara amnya.
“Ini bukan sekadar satu projek teknologi, tetapi ia adalah asas kepada transformasi perkhidmatan awam, pengukuhan ekonomi digital dan kesejahteraan rakyat,” katanya. - DagangNews.com
featured standard


