
AURA lahiriah pelakon Nas Muammar Zar atau dikenali sebagai Nas-T menjadi ‘alasan’ bagi pengarah filem Keluang Man memilih aktor berkenaan untuk memegang watak adiwira popular itu.
Anwari Ashraf, yang juga penulis skrip filem itu berkata Nas menepati ciri-ciri luaran persis Borhan (Keluang Man) dan dia percaya bintang aksi itu mampu menjiwai watak ikonik berkenaan dengan cukup baik.
“Setelah menimbang tara lebih beratus calon termasuk pelakon berpengalaman dan baharu, jelas pada kami bahawa Nas adalah Keluang Man yang kami cari.
“Aura lahiriah Nas sebagai seorang individu persis dan jitu dengan jiwa Borhan, sehingga kami tidak teragak-agak memilihnya,” katanya pada majlis pelancaran filem Keluang Man, baru-baru ini.


