Seorang pelanggan yang membeli nasi kerabu di Bazar Jasin Bestari meluahkan kekecewaannya selepas mendapati makanan yang dibeli tercemar dengan ulat. Kejadian yang berlaku pada Ahad, 9 Mac itu menjadi tular di media sosial selepas pelanggan berkenaan berkongsi pengalamannya dalam sebuah hantaran di Facebook.
Menurutnya, dia hanya menyedari kehadiran ulat dalam nasi kerabu tersebut ketika hendak berbuka puasa.
“Bayangkan nak berbuka, tiba-tiba nampak ulat sampah berkeliaran dalam makanan,” luahnya.
Individu tersebut turut mengingatkan peniaga bazar agar lebih menitikberatkan aspek kebersihan dan kualiti makanan yang dijual.
Insiden ini mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen. Ada yang menyuarakan kebimbangan terhadap kebersihan makanan di bazar Ramadan, terutama apabila peniaga didakwa menggunakan bahan lama atau tidak segar.
“Start puasa ke-2 ramai jual makanan tak habis semalam,” kata seorang pengguna Facebook yang mendakwa pernah mengalami pengalaman serupa.
Sebahagian netizen pula meminta agar pelanggan yang terkesan terus menegur peniaga secara berdepan bagi mengelakkan salah faham dan memberi peluang kepada peniaga untuk memperbaiki kualiti perniagaan mereka.
“Kalau ada isu macam ni, baik tegur terus peniaga tu daripada viralkan. Kesian pada peniaga lain yang jujur,” ujar seorang lagi netizen.
Dalam masa yang sama, ada pelanggan tetap beberapa gerai nasi kerabu di bazar tersebut yang tampil mempertahankan peniaga kegemaran mereka, menyatakan bahawa mereka tidak pernah mengalami masalah yang sama.
“Saya dah beli nasi kerabu tempat ni selama tiga tahun, tak pernah ada masalah kebersihan,” kata seorang pembeli.
Isu makanan tercemar di bazar Ramadan bukan perkara baharu, namun setiap tahun ia tetap menjadi perhatian. Pihak berkuasa kesihatan digesa untuk memperketat pemantauan bagi memastikan tahap kebersihan makanan di bazar terus terjamin dan mengelakkan kejadian serupa berulang.
The post Nasi kerabu berulat di bazar Ramadan? Pelanggan kesal terbeli makanan tercemar appeared first on .


