
BINTANG golf profesional wanita negara, Natasha Andrea Oon mengekalkan prestasi mengagumkan apabila berjaya menembusi kelompok 300 pemain terbaik ranking dunia.
Kejayaan bergelar naib juara pada siri Jelajah Epson di Kejohanan Twin Bridges di New York, Ahad lalu, selepas tewas kepada pemain Amerika Syarikat, Jenny Bae, pada penentuan lima-lubang 'sudden-death playoff' di pusingan akhir melonjakkan kedudukan alumni San Jose State University berkenaan.
Sebagai rekod, tahun ini bermula di ranking ke-821, pemain berusia 21 tahun itu mula mencatatkan kenaikan dengan persembahan terpuji dalam siri Jelajah Epson untuk muncul pemain utama Malaysia dengan kedudukan ke-282 dengan purata 0.40 mata.
Pencapaian itu memintas pemain Olimpik negara, Kelly Tan yang menghuni tangga ke-333 dengan mengumpul purata 0.33 mata manakala purata 0.16 mata oleh pemain wanita ketiga terbaik negara, Alyaa Abdulghany, di kedudukan ke-516.
”Saya belajar banyak daripada pengalaman ini. Saya bersyukur berada dalam kedudukan ini dan berharap akan dapat mengharunginya satu hari nanti,” kata Natasha pada Selasa.
Natasha yang menjadi pemain profesional pada Jun tahun lalu, kini mencatatkan tujuh penamat 10 terbaik termasuk empat pencapaian naib juara dalam 13 kejohanan Jelajah Epson tahun ini.
Sebagai rekod, Jelajah Epson ialah sirkit kelayakan rasmi untuk Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) dengan 10 pemain terbaik di akhir kejohanan penghujung musim Oktober ini akan memperoleh kad penyertaan untuk kejohanan Jelajah LPGA untuk musim 2024.
