NCER catat pelaburan RM37 bilion di Pulau Pinang, lepasi sasaran 2026

LocalBusiness & Finance
23 Oct 2026 • 2:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

NCER catat pelaburan RM37 bilion di Pulau Pinang, lepasi sasaran 2026 Image from: NCER catat pelaburan RM37 bilion di Pulau Pinang, lepasi sasaran 2026 amree23/10/2026 - 14:50 Foto kredit Penang Property Talk Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt – Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) mencatatkan pelaburan direalisasikan bernilai RM36.62 bilion di Pulau Pinang setakat 30 September 2026, sekali gus melepasi sasaran tahunan RM22 bilion yang ditetapkan bagi sepanjang tahun ini.

 

Pencapaian itu turut menjana 19,033 peluang pekerjaan, lebih dua kali ganda sasaran 9,000 pekerjaan yang disasarkan bagi negeri berkenaan pada 2026, mencerminkan momentum pertumbuhan ekonomi serta keyakinan pelabur terhadap sektor perindustrian negeri.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, prestasi itu menunjukkan keyakinan kukuh pelabur ke atas ekosistem negeri terutama sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta teknologi termaju.

 

"Berdasarkan kepada prestasi semasa, NCER berasa optimis berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran pelaburan direalisasikan terkumpul mencecah RM278.6 bilion di Pulau Pinang menjelang 2030 di bawah Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026–2030," jelas beliau.

 

Dalam kenyataan yang dibentangkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri Pulau Pinang, NCIA ujarnya, turut menekankan aspek pembangunan beberapa projek strategik bagi memperkukuh daya saing industri dan mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi negeri.

 

Antara projek utama ialah Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC) disokong Institut dan Pusat Penyelidikan Pembungkusan Termaju (APIRC) bagi memperkukuh keupayaan industri semikonduktor, termasuk pembangunan teknologi dan kepakaran dalam rantaian nilai sektor itu.

 

Pulau Pinang_DagangNews2026

 

Bagi sektor pelancongan dan pertanian pula, projek Penang Durian Valley @ Relau sudah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 48% dan disasarkan siap menjelang suku pertama 2027, dengan matlamat merancakkan pelancongan berasaskan pertanian di Pulau Pinang.

 

"NCIA turut melaksanakan Program Dapur Sentral di daerah Timur Laut dan Barat Daya, dengan rancangan memperluaskannya di kesemua tiga daerah Seberang Perai bagi memperkasakan usahawan tempatan dalam rantaian nilai makanan halal," kata Mohamad Haris.

 

Ujarnya, tumpuan NCER bukan sekadar menarik pelaburan, tetapi memastikan pelaburan direalisasikan menghasilkan peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan bakat, pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan.

 

Pada peringkat keseluruhan wilayah Utara Semenanjung Malaysia pula, kerajaan menyasarkan pelaburan direalisasikan terkumpul NCER mencecah RM470 bilion menjelang 2030, meningkat RM126.2 bilion daripada hanya RM343.8 bilion yang direkodkan setakat ini. 

 

Jelas Mohamad Haris, beberapa sektor berpotensi antaranya E&E, automotif, pelancongan bernilai tinggi dan pertanian moden dijangka menyumbang kira-kira 70% daripada sasaran pelaburan berkenaan.

 

"Pencapaian ini membuktikan kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemain industri mampu menterjemahkan perancangan pembangunan kepada hasil ekonomi yang nyata, dengan tumpuan seterusnya memastikan momentum pertumbuhan," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved