Pengurusan Aset Air terbit sukuk RM11.64 bilion biayai projek infrastruktur air selama 10 tahun

LocalBusiness & Finance
23 Oct 2026 • 2:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengurusan Aset Air terbit sukuk RM11.64 bilion biayai projek infrastruktur air selama 10 tahun Image from: Pengurusan Aset Air terbit sukuk RM11.64 bilion biayai projek infrastruktur air selama 10 tahun amree23/10/2026 - 14:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) merancang menerbitkan sukuk bernilai RM11.64 bilion bagi membiayai keperluan perbelanjaan modal dalam tempoh 10 tahun akan datang, ketika organisasi itu mempunyai banyak projek infrastruktur bernilai kira-kira RM14.97 bilion.

 

Menurut syarikat tersebut dalam kenyataan, program nota jangka sederhana Islam (IMTN) yang dicadangkan itu dijangka memperkukuh keupayaan pembiayaan jangka panjang PAAB bagi menyokong pembangunan infrastruktur air negara, termasuk aspek pengurusan bekalan air dan air sisa.

 

Katanya, dengan nilai projek yang dirancang melebihi saiz program sukuk baharu itu, akses kepada pembiayaan secara mampan dilihat sebagai penting bagi memastikan pelaksanaan projek infrastruktur dapat diteruskan mengikut keperluan serta keutamaan pembangunan sektor air negara ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Zulkiflee Omar menerusi kenyataan itu menambah, program sukuk berkenaan dijangka dapat menyokong keperluan pembiayaan jangka panjang organisasi tersebut, selain memajukan agenda kelestariannya dengan lebih berkesan kepada masyarakat.

 

"Sehubungan itu, PAAB mengumumkan pelantikan Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad sebagai penasihat utama bersama serta pengatur utama bagi program sukuk yang dicadangkan tersebut," jelas beliau.

 

Program berkenaan akan diwujudkan menerusi syarikat pembiayaan agensi dan penerbit sukuk PAAB sendiri, Pengurusan Air SPV Berhad. Bagaimanapun, pelaksanaannya masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, manakala tarikh penerbitan pertama belum ditentukan.

 

PAAB_DagangNews2026

 

PAAB turut merancang memasukkan ciri pembiayaan mampan dalam program tersebut, meliputi pelaburan berkaitan pengurusan air dan air sisa, pemuliharaan biodiversiti, penyesuaian perubahan iklim, tenaga boleh diperbaharui (RE), infrastruktur hijau serta infrastruktur asas mampu milik.

 

Organisasi itu yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), bertanggungjawab membiayai, membangunkan dan mengurus aset infrastruktur air negara. Program sukuk baharu itu akan menambah pilihan pembiayaan sedia ada bagi menyokong tanggungjawab berkenaan.

 

Ketika ini, PAAB mempunyai tiga program pembiayaan, iaitu kertas komersial Islam bernilai RM2 bilion yang matang pada Ogos 2029, IMTN bernilai RM20 bilion yang matang pada November 2039 serta IMTN dengan jaminan kerajaan bernilai RM20 bilion yang matang pada Februari 2041.

 

Dalam perkembangan berkaitan, satu majlis diadakan di ibu negara bagi memperingati penempatan sulung PAAB bernilai RM300 juta di bawah program Deposit Tetap-i Mampan Islamik Maybank Islamic Berhad pada 26 Ogos 2026. 

 

Dana berkenaan diperoleh daripada sebahagian sukuk biru bernilai RM720 juta yang diterbitkan di bawah program kertas komersialnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank, Michael Oh-Lau berkata pihaknya berbesar hati menyokong usaha PAAB memperluas akses rumusan pembiayaan mampan dan sukuk biru bagi menterjemahkan matlamat kelestarian kepada pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat nyata kepada sektor air negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved