
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara-negara BRICS perlu berani menyatakan pendirian bahawa pendudukan haram, penjajahan serta keganasan tidak boleh terus dibiarkan.
Beliau berkata, pendirian itu penting ketika dunia berdepan perubahan besar dalam landskap ekonomi dan geopolitik.
“Pencerobohan Israel di Asia Barat turut menyebabkan negara-negara yang tidak terlibat dalam peperangan ini menanggung akibat melalui inflasi dan ketidaktentuan ekonomi.
“Pendirian Malaysia jelas, kedaulatan mesti dihormati, orang awam dilindungi dan laluan utama ekonomi dunia tidak boleh dijadikan medan pertempuran,” katanya dalam satu hantaran di Facebook di sini hari ini.
Perkara itu disampaikan ketika berucap di hadapan pimpinan dunia pada Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi hari ini.
Anwar berkata, teknologi berkembang pada kadar yang belum pernah disaksikan, sedangkan sebahagian besar negara membangun masih bergelut untuk mencapai kemajuan ekonomi.
“Terlalu banyak negara dibelenggu hutang sehingga lebih banyak dibelanjakan untuk membayar faedah berbanding perbelanjaan bagi pendidikan atau kesihatan.
“Justeru, sistem pembiayaan antarabangsa perlu lebih adil dan tidak menjerumuskan negara ke dalam hutang yang tidak tertanggung hanya kerana mahu memenuhi keperluan asas rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menekankan keperluan mempercepat inisiatif melalui New Development Bank, memperluas penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan serta memanfaatkan potensi besar pasaran modal Islam.
“Negara-negara BRICS juga harus berganding melalui langkah nyata untuk merungkai amalan perdagangan tidak adil, berkongsi pengalaman pembangunan serta memperkukuh kerjasama dalam bidang baharu termasuk semikonduktor dan kecerdasan buatan.
“Peralihan hijau juga mesti mengambil kira realiti dan tahap pembangunan setiap negara kerana tidak semua mampu bergerak pada kadar atau melalui jalan yang sama,” katanya.
Katanya, BRICS memiliki kelebihan geoekonomi menerusi pasaran yang luas, sekali gus membuka ruang mempelbagaikan perdagangan, mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional Barat serta menjana kemakmuran bersama.
“Pertumbuhan terangkum tidak boleh dicapai selagi peperangan terus melonjakkan harga tenaga dan mengancam laluan laut yang menjadi nadi ekonomi dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Negara BRICS perlu berani tolak penjajahan, keganasan appeared first on Kosmo Online.






