Negara perlu lebih ramai bakat STEM

LocalTechnology
7 Sep 2026 • 12:24 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Negara perlu lebih ramai bakat STEM

SHAH ALAM – Malaysia memerlukan lebih ramai bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi membina masa hadapan negara yang lebih maju, berdaya saing dan berdaya tahan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia terus memperkukuh ekosistem yang membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk berkembang melalui universiti, penyelidikan, industri mahupun syarikat pemula niaga.

“Kita mahu idea yang lahir di sekolah hari ini berkembang menjadi penyelidikan, teknologi, inovasi dan perusahaan yang mampu menyelesaikan masalah sebenar rakyat serta mengangkat daya saing Malaysia di peringkat dunia.

“Sebab itu, Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) tidak seharusnya berakhir apabila piala disampaikan. Saya mahu bakat yang dikenal pasti melalui platform seperti ini terus dibangunkan dan diberikan laluan untuk pergi lebih jauh,” kata beliau dalam ucapan sempena Peringkat Akhir NSC 2026 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri di Institut Kesihatan Negara, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang.

Anwar juga mahu MOSTI dan Akademi Sains Malaysia (ASM), bersama-sama Kementerian Pendidikan serta rakan strategik, menjadikan NSC sebagai satu laluan pembangunan bakat yang berterusan dan bukan sekadar acara tahunan.

Beliau berkata Malaysia tidak boleh selama-lamanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya perlu menjadi negara yang mencipta, memiliki dan menguasai teknologi.

Perkara itu semakin penting memandangkan negara berdepan pelbagai cabaran termasuk keterjaminan makanan, bekalan tenaga, kesihatan awam, keselamatan air, perubahan iklim serta penggunaan kecerdasan buatan secara bertanggungjawab, kata beliau.

Beliau berkata pendidikan sains tidak boleh terhenti pada hafalan formula dan pencapaian peperiksaan, sebaliknya perlu membentuk pemikiran yang kritikal terhadap fakta, terbuka kepada idea, berani mencuba dan jujur apabila sesuatu percubaan tidak berjaya.

Usaha memperkukuh pendidikan STEM juga perlu menjadi tanggungjawab bersama kerajaan, sekolah, universiti, industri dan komuniti, kata beliau. – Bernama

The post Negara perlu lebih ramai bakat STEM appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved