Pencak silat bakal jadi identiti sukan MPSepang

6 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pencak silat bakal jadi identiti sukan MPSepang

SHAH ALAM, 6 SEPT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) berhasrat menjadikan pencak silat sebagai antara identiti sukan daerah itu susulan ekosistem pembangunan yang telah dibina sejak 2010.

Yang Dipertuanya, Dr Ani Ahmad berkata pencak silat dipilih berdasarkan kewujudan kemudahan latihan, tenaga kejurulatihan serta pembangunan bakat di peringkat akar umbi yang telah berlangsung lebih sedekad.

Dr Ani

Image from: Pencak silat bakal jadi identiti sukan MPSepang
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dr Ani Ahmad

“Pencak silat kita pilih dan beri penekanan kerana kekuatan ekosistemnya telah lama dibangunkan di Sepang sejak 2010 termasuk Dewan Komuniti Hulu Chuchoh yang dijadikan pusat latihan daerah bagi memperkukuh bakat atlet.

“Ia mempunyai potensi besar untuk menjadi identiti kekuatan sukan daerah ini dengan adanya kemudahan latihan dan tenaga kejurulatihan yang boleh menyokong pembangunan atlet,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Ani, usaha Kerajaan Negeri menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) turut memberi ruang kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) memperkemas pembangunan sukan secara lebih tersusun, termasuk memberi tumpuan kepada pencak silat di peringkat akar umbi.

Katanya, sokongan terhadap sukan berkenaan bukan sahaja penting untuk melahirkan bakat tempatan, malah menjadi pelaburan jangka panjang dalam menyediakan laluan kepada atlet mewakili Sepang dan Selangor di peringkat lebih tinggi.

“Dalam memperkukuh pembangunan pencak silat, kita mengambil kira ketersediaan jurulatih, tenaga kepakaran, kesinambungan pembangunan atlet serta potensi bakat tempatan untuk diketengahkan ke persada kompetitif.

“Jika pembangunan ini dilaksanakan secara konsisten dengan sokongan jurulatih, kemudahan dan komitmen semua pihak, pencak silat boleh menjadi antara identiti sukan yang mengangkat nama Sepang,” katanya.

Dalam pada itu, Ani berkata MPSepang akan terus memberi perhatian kepada pembangunan sukan yang mempunyai potensi berdasarkan kekuatan ekosistem, kepakaran serta bakat tempatan yang tersedia.

Ketika membentangkan RS-2, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri akan meneruskan momentum penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) menerusi pendekatan ‘satu sukan satu PBT’ bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pendekatan itu turut memformalisasikan pembangunan sukan komuniti di peringkat PBT, sekali gus memperkukuh ekosistem sukan akar umbi secara lebih tersusun dan bersepadu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved