Negeri Pantai Timur Dijangka Banjir Hari Ini, Notis Kesiapsiagaan Dikeluarkan - JPS

11 Nov 2022 • 10:26 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Banjir kilat berlaku di beberapa kawasan di sekitar Meru ekoran hujan lebat kira-kira dua jam petang semalam. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir di Terengganu, Pahang dan Kelantan hari ini, sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan Sungai Besut, Sungai Setiu, Sungai Golok dan Sungai Endau.

JPS memaklumkan, ramalan itu berdasarkan Susulan Amaran Hujan Berterusan (Buruk) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat jam 2.10 petang semalam dan hasil simulasi model ramalan banjir.

“Di Terengganu, kawasan berisiko banjir (adalah) daerah Besut membabitkan Kampung La, Kampung Seberang La, Kampung Pengkalan Nangka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bukit Puteri dan kawasan sekitarnya.

“Lokasi terlibat di daerah Setiu adalah Kampung Nyatoh, Kampung Che Mohid dan kawasan sekitarnya dengan kedua-dua daerah dijangka banjir hari ini mulai jam 5 pagi,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut JPS, di Pahang, daerah diramal banjir adalah Rompin membabitkan lokasi Sungai Anak Endau di Rumah Pam Setajam dan kawasan sekitarnya dengan waktu dijangka banjir mulai 7 pagi hari ini.

Kenyataan sama memaklumkan, di Kelantan daerah diramal banjir adalah Pasir Mas, membabitkan lokasi Kampung Kubang Rambutan, Kampung Bagus, Kampung Degung, Kampung Telaga Mas dan kawasan sekitarnya yang dijangka berlaku hari ini, mulai jam 2 petang.

Jelasnya, notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk, terutama di kawasan berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan banjir kilat dalam tempoh tersebut.

“Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir,” katanya.

Pada minggu lalu, Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, negara akan mengalami Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh lebih awal daripada jangkaan asal, iaitu bermula 7 November dan berterusan hingga Mac depan.

Katanya, sepanjang tempoh itu, empat hingga enam episod luruan monsun membawa hujan lebat berterusan, berpotensi berlaku. – Getaran, 11 November 2022