Nekad tuntut cerai lepas suami kerja e-hailing ketagih air ketum

Family & ParentingLifestyle
18 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Nekad tuntut cerai lepas suami kerja e-hailing ketagih air ketum

KETIKA mula mengenali air ketum, Nabila (bukan nama sebenar) hanya menganggap minuman itu sebagai ‘penambah tenaga’ untuk membantu suaminya bekerja lebih lama mencari rezeki.

Namun, alasan tersebut akhirnya bertukar menjadi tabiat yang sukar ditinggalkan hingga membawa kepada keretakan rumah tangga mereka.

Membuka cerita kepada K-Wanita, Nabila memberitahu, suaminya yang berusia 40 tahun itu dikatakan sanggup memperuntukkan sebahagian pendapatannya untuk mendapatkan air ketum.

Menurut pembantu kedai itu, ketika awal perkahwinan mereka, suaminya yang berasal dari Kedah bukan seorang peminum air ketum.

“Tabiat suami itu (minum air ketum) mula menjadi semakin ketara selepas dia melakukan kerja sambilan membawa e-hailing pada sebelah malam bagi menambah pendapatan keluarga.

“Pada mulanya, saya tidak terlalu risau kerana dia kata air ketum itu untuk tambah tenaga.

“Dia bekerja siang malam, jadi saya faham dia penat dan mahu sesuatu yang membuatkan badan rasa lebih bertenaga,” katanya.

Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, keadaan mula berubah apabila suaminya semakin bergantung kepada air ketum hingga hampir setiap minggu perlu mendapatkan bekalan daripada seorang pembekal tidak dikenalinya.

Katanya, dalam seminggu, suaminya pasti mendapatkan dua hingga tiga botol air ketum bergantung kepada keadaan serta jumlah wang yang ada.

“Lama-kelamaan, saya lihat air itu bukan lagi diambil kerana letih bekerja. Kalau tidak bekerja pun, dia (suami) tetap cari air ketum kerana ketagih.

“Saya rasa air ketum itu telah dicampur dengan bahan asing bagi memberi rasa ketagih dan high.

“Jadi, apabila duduk di rumah pun, suami cakap badan rasa lemah dan tidak bertenaga kalau tidak minum air ketum.

“Paling saya tidak tahan, apabila dia tidak dapat air ketum, perangainya terus berubah.

“Dia cepat berasa marah, mudah tersinggung dan perkara kecil pun boleh menjadi punca pergaduhan antara kami,” katanya.

Nabila mengakui, dia beberapa kali menasihati suaminya supaya mengurangkan pengambilan air ketum.

Malah, dia pernah meminta lelaki itu berhenti kerana bimbang tabiat berkenaan boleh menjejaskan kesihatannya dalam jangka panjang.

Bagaimanapun, nasihat itu tidak banyak mengubah keadaan kerana suaminya mendakwa, dia boleh mengawal pengambilan air ketum dan tidak menganggap dirinya mengalami masalah ketagihan.

“Kalau dikira, suami ambil dua atau tiga botol besar seminggu. Kalau sebulan, berapa banyak duit yang perlu dihabiskan untuk membeli air ketum.

“Sepatutnya, duit itu boleh digunakan untuk beli susu dan lampin anak yang masih kecil, barang dapur atau simpan untuk keperluan lain.

“Saya bukan marah dia bekerja mencari pendapatan tambahan. Saya sokong dia bawa e-hailing kerana mahu kehidupan kami lebih baik.

“Tetapi apabila sebahagian daripada duit itu digunakan untuk membeli air ketum, saya rasa macam sia-sia saja cari pendapatan tambahan,” katanya.

Ujar Nabila, keadaan menjadi lebih sukar apabila suaminya mula mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana terlalu memikirkan keperluan mendapatkan air ketum.

Ada masa, suaminya sanggup keluar rumah pada hujung minggu semata-mata untuk mendapatkan bekalan air ketum walaupun anak-anak memerlukan perhatiannya.

Malah, mereka sering bertikam lidah disebabkan masalah ketagihan air ketum suaminya.

Walaupun sudah beberapa kali memberi nasihat supaya suaminya segera berhenti mengambil air ketum, namun harapan hanya tinggal harapan.

Disebabkan itu, Nabila merasakan perkahwinan selama lima tahun itu tidak lagi memberi ketenteraman seperti yang diharapkan.

Selepas mendapat nasihat daripada ibu bapanya, wanita itu memfailkan perceraian di sebuah Mahkamah Syariah di Utara tanah air.

Katanya, keputusan itu bukan dibuat dalam keadaan terburu-buru, sebaliknya ia diambil selepas memikirkan masa depan dua anak mereka yang masih kecil.

“Saya tidak mahu anak-anak saya membesar dengan seorang bapa yang ketagih dengan benda terlarang. Jadi, lebih baik kami berpisah,” ujarnya.

The post Nekad tuntut cerai lepas suami kerja e-hailing ketagih air ketum appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved