
Kota Kinabalu: Gangguan bekalan bahan api tidak boleh menjejaskan operasi nelayan Sabah yang layak menerima diesel bersubsidi, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin.
Beliau berkata Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Dr Abdul Salim Tajudin telah mengarahkan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) untuk memastikan bekalan bahan api berjalan lancar di seluruh Sabah.
“Gangguan seumpama ini tidak sepatutnya berlaku sehingga menjejaskan operasi nelayan yang layak menerima subsidi. Kemudahan subsidi yang disediakan oleh Kerajaan mesti sampai kepada penerima yang sasarkan,” katanya.
Chan, yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, mempengerusikan sesi libat urus Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang melibatkan enam persatuan pemilik bot dan perikanan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.
Gangguan bekalan bahan api adalah antara isu yang dibangkitkan, di samping kekangan operasi, sekatan pelantikan wakil pemilik kapal, masalah pembaruan lesen serta kelewatan pengeluaran dokumen berkaitan.
Dianjurkan oleh LKIM, sesi terbabit turut menangani isu-isu yang dibangkitkan dalam surat yang dikemukakan kepada Kementerian pada Ogos lalu.
Chan berkata proses kerja sedia ada perlu disemak semula, dipercepatkan dan diselaraskan dengan lebih baik bagi membolehkan pengusaha perikanan menjalankan perniagaan mereka dengan lancar sambil mematuhi syarat-syarat peraturan.
“Kementerian perlu mengimbangi antara keperluan operasi harian pemilik bot dengan kawalan berkesan bagi memastikan ketelusan, mengelakkan ketirisan dan menjamin penggunaan subsidi secara bertanggungjawab.
“Pengurusan subsidi yang berkesan bukan sekadar untuk mengelakkan ketirisan tetapi juga memastikan nelayan yang layak terus mendapat akses kepada kemudahan yang mereka perlukan untuk menjalankan operasi,” katanya.
Menurut Chan, Kerajaan melalui Belanjawan 2027 meneruskan penyediaan diesel bersubsidi pada kadar RM1.65 seliter untuk nelayan dan pemilik bot yang layak.
Beliau berkata seramai 10,126 pemilik kapal di seluruh negara kini mendapat manfaat daripada kemudahan tersebut melalui 151 pusat jualan diesel bersubsidi.
“Peruntukan subsidi yang besar ini mesti diuruskan secara bertanggungjawab supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada penerima sasaran dan tidak disalahgunakan,” katanya.
Chan berkata sesi libat urus itu mencerminkan komitmen Kerajaan untuk mengekalkan komunikasi yang terbuka dan berterusan dengan pemain industri serta mencari penyelesaian yang menyeluruh dan memberi manfaat bersama.
“Kebajikan nelayan mesti dilindungi, isu-isu industri mesti dipandang serius, dan setiap mekanisme kawalan mesti dilaksanakan secara adil, cekap dan berkesan.
“KPKM akan terus memperkukuh kerjasama dengan persatuan dan pemain industri bagi memastikan sektor perikanan kekal mampan dan berdaya saing,” katanya.
Enam badan yang mengambil bahagian ialah Persatuan Pemilik Kapal Nelayan Kota Kinabalu, Gabungan Persatuan Perikanan dan Kapal Nelayan Sabah, Persatuan Perikanan Tong Kang Sandakan, Persatuan Perikanan Sandakan, Persatuan Pemilik Kapal Nelayan Kudat dan Persatuan Perikanan Tawau.
Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Pertubuhan Nelayan LKIM Norfajarwati Baharudin serta Pengarah LKIM Sabah Mohd Jamil @ Jomiun Abdullah.






