
DUNGUN – Seorang wanita warga emas yang dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat subuh berjemaah bukan sahaja kehilangan barang kemas malah pipinya cedera ditumbuk seorang penyamun di Kampung Sura, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 5.53 pagi itu, mangsa yang berusia 62 tahun kerugian ribuan ringgit akibat gelang tangan emasnya dilarikan penjenayah terbabit.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, sewaktu kejadian, wanita tersebut yang sedang berjalan kaki ke masjid tiba-tiba dihampiri seorang lelaki tidak dikenali.
“Suspek tiba-tiba menumbuk pipi kiri mangsa dia kali sebelum meragut gelang emas yang dipakai pada tangan kanan. Lelaki itu kemudiannya melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal berwarna biru yang sebelum itu diletakkan di tepi jalan,” katanya di sini hari ini.
Nik Ab. Halim berkata, wanita warga emas kemudiannya membuat laporan berhubung kejadian samun tersebut di sebuah balai polis berhampiran pada pukul 6.43 pagi.
Beliau berkata, gerakan untuk mengesa suspek sedang giat dilakukan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Nenek dalam perjalanan ke masjid disamun, ditumbuk pipi appeared first on Kosmo Online.

![[VIDEO] Lelaki solat berjemaah ‘pergi’ dalam keadaan bersujud](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-19-at-10.45.52-e1792378389489-1024x630.jpeg)