Nepal ‘lemas’ lagi, banjir hanyutkan rumah dan jambatan

WorldEnvironment
11 Oct 2026 • 9:38 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Nepal ‘lemas’ lagi, banjir hanyutkan rumah dan jambatan

KATHMANDU –Banjir kilat terbaharu melanda Nepal hari ini, menghanyutkan rumah, jambatan serta merosakkan sebuah stesen janakuasa hidroelektrik, kata pihak berkuasa, lapor saluran berita BBC.

Kejadian berlaku apabila Sungai Budhi Gandaki di daerah Gorkha melimpah secara mendadak, menyebabkan paras air melonjak daripada dua meter kepada hampir 8.5 meter dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Tentera Nepal mengesahkan kira-kira 50 penduduk berjaya diselamatkan di sepanjang tebing sungai. 

Tiada kematian dilaporkan setakat ini, namun sekurang-kurangnya lima individu dilaporkan hilang.

Satu rakaman video yang tular menunjukkan arus deras menerjah kawasan lembah sebelum menghanyutkan seluruh kompleks bangunan dalam sekelip mata.

Pihak Berkuasa Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara memaklumkan, belasan rumah dan beberapa jambatan gantung hanyut dibawa arus, manakala peralatan pembinaan di tapak projek hidroelektrik turut mengalami kerosakan berikutan bencana itu.

Pegawai Meteorologi Nepal, Binod Parajuli berkata, stesen pemantauan hidrologi di kawasan berkenaan turut musnah dihanyutkan air bah, menyebabkan data paras air tidak dapat direkodkan.

Punca sebenar banjir masih dalam siasatan. 

Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca daripada tanah runtuh yang menyekat laluan sungai sebelum empangan semula jadi itu pecah, atau disebabkan runtuhan salji di kawasan hulu.

Bagaimanapun, pakar mengesahkan aliran air kali ini adalah lebih kecil dan bergerak lebih perlahan berbanding banjir besar pada Ogos lalu yang meragut lebih 1,400 nyawa di kawasan sempadan Tibet. – AGENSI

The post Nepal ‘lemas’ lagi, banjir hanyutkan rumah dan jambatan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved