27 rumah terjejas banjir di daerah Kubang Pasu

LocalEnvironment
3 Oct 2026 • 1:52 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 27 rumah terjejas banjir di daerah Kubang Pasu

JITRA – Sebanyak 27 rumah di empat kampung di daerah Kubang Pasu terjejas akibat banjir susulan hujan lebat, semalam yang menyebabkan beberapa sungai melimpah ke kawasan perumahan dan jalan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd. Adenin Suhaimi berkata, kawasan yang terjejas adalah Kampung Changkat Setol, Kampung Sungai Petani, Kampung Padang dan Kampung Belukar.

“Sebanyak lapan rumah di Kampung Changkat Setol dimasuki air dengan ada mangsa terlibat berpindah ke rumah inap dan rumah saudara.

“Selain itu, lokasi lain yang terjejas adalah Kampung Sungai Petani membabitkan enam rumah, Kampung Padang (lima rumah) dan Kampung Belukar (lapan rumah),” katanya di sini, hari ini.

Katanya, kejadian berlaku susulan hujan lebat dan berterusan di beberapa kawasan sehingga menyebabkan paras air meningkat dan melimpah ke jalan.

“Paras air di Kampung Sungai Petani, Kampung Padang dan Kampung Belukar menunjukkan trend menurun. Paras sungai juga dalam keadaan terkawal,” ujarnya.

Tambahnya, tiada pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini, manakala anggota APM bersama agensi berkaitan termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Jabatan Pengairan dan Saliran, polis, bomba dan penghulu masih dalam keadaan bersiap sedia.

Sementara itu, penduduk Kampung Belukar, Mohammad Irsyadi Darus, 37, berkata, rumahnya mula dimasuki air kira-kira pukul 2 pagi tadi susulan hujan lebat di kawasan Bukit Kachi dan Universiti Utara Malaysia, Sintok.

“Paras banjir di kawasan jalan mencecah paras paha, manakala di dalam rumah sekitar paras buku lali. Ini merupakan kejadian pertama air masuk ke dalam rumah tahun ini.

“Kami sempat mengangkat barangan ke tempat lebih tinggi selepas hujan lebat berterusan pada semalam kerana kawasan ini rendah dan biasa berlaku banjir,” katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga juga bermalam di rumah saudara di Alor Setar, malam tadi sebelum pulang ke rumah pagi tadi untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Selut agak teruk dan ia mungkin disebabkan orang baru tuai padi menyebabkan aliran selut dibawa arus banjir ke sini,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan lokasi sudah pulih, namun terdapat kira-kira tiga rumah di kampung tersebut yang masih digenangi air. – KOSMO! ONLINE

The post 27 rumah terjejas banjir di daerah Kubang Pasu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved