Nepal percepat pengisytiharan kematian mangsa bencana kepada 45 hari

14 Oct 2026 • 5:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nepal percepat pengisytiharan kematian mangsa bencana kepada 45 hari
Pemandangan udara menunjukkan rumah-rumah ditenggelami lumpur susulan banjir kilat di Devighat, Perbandaran Bidur, daerah Nuwakot, Nepal. Foto: Fail/AFP

PUTRAJAYA- Kerajaan Nepal kini sedang memperincikan ordinan baharu mengenai perisytiharan kematian mangsa bencana yang masih tidak dapat dihubungi bagi tujuan pengeluaran sijil kematian.

Wisma Putra memaklumkan, ordinan tersebut memendekkan tempoh pengisytiharan kematian mangsa bencana daripada 12 tahun kepada 45 hari dari tarikh bencana.

Menurutnya, perkara tersebut memberikan kepastian undang-undang dan pentadbiran yang lebih jelas kepada keluarga yang terjejas.

"Dalam maklum balasnya, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Nepal di Kuala Lumpur memaklumkan bahawa Kerajaan Nepal kini sedang memperincikan ordinan tersebut serta modaliti berkaitan bagi tujuan pengeluaran sijil kematian," kata kementerian itu dalam kenyataan pada Rabu.

Banjir besar yang melanda Nepal pada 26 Ogos lalu mengakibatkan kemusnahan meluas, khususnya di daerah Rasuwa, Nuwakot dan Dhading, selepas limpahan sungai Bhote Koshi dan Trishuli menenggelamkan kawasan terjejas. Bencana itu turut memusnahkan kediaman, jalan raya, jambatan serta kemudahan hidroelektrik, selain menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal dan sumber kehidupan.

Menurut angka terkini yang dilaporkan pihak berkuasa Nepal pada 5 Oktober, seramai 1,455 orang disahkan meninggal dunia, manakala 5,285 lagi masih dilaporkan hilang.

Bencana itu turut membabitkan 54 rakyat Malaysia yang dilaporkan masih gagal dihubungi setakat 3 Oktober lalu.

Operasi mencari dan menyelamat serta usaha pemulihan diteruskan bagi membantu mangsa dan menangani kesan kemusnahan akibat bencana berkenaan.

Dalam pada itu, Wisma Putra memaklumkan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan telah menyerahkan cek sumbangan bernilai AS$1 juta kepada Puan Mudita Bajracharya, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Nepal di Kuala Lumpur.

Sumbangan tersebut merupakan tanda sokongan berterusan Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Nepal pada waktu yang amat sukar ini.

"Mohamad menyampaikan rasa simpati yang mendalam dan ucapan takziah Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Nepal, khususnya kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang serta semua yang terjejas akibat bencana tersebut," jelasnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved