Nepal pertimbang pindaan undang-undang percepat sijil kematian 54 rakyat Malaysia

18 Oct 2026 • 1:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Nepal pertimbang pindaan undang-undang percepat sijil kematian 54 rakyat Malaysia

MELAKA: Kerajaan Nepal sedang meneliti pindaan undang-undang bagi mempercepat pengeluaran sijil kematian kepada 54 rakyat Malaysia yang hilang dan dipercayai tidak dapat dikesan, sekali gus membolehkan waris mereka menyelesaikan urusan berkaitan kewangan serta tuntutan insurans.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha itu sedang diuruskan melalui hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, termasuk perbincangan dengan Kedutaan Malaysia di Nepal dan Duta Nepal yang telah mengadakan kunjungan ke pejabatnya minggu lalu.

Menurutnya, kerajaan Nepal dijangka membentangkan cadangan pindaan undang-undang berkenaan di Parlimen negara itu bagi membolehkan sijil kematian dikeluarkan tanpa perlu menunggu tempoh yang panjang.

“Maklumat terakhir yang kita terima daripada kedutaan dan juga ketika Duta Nepal datang ke pejabat saya minggu lalu, kerajaan Nepal sedang berurusan dan akan membentangkan dalam Parlimen mereka untuk meminda undang-undang ini dengan segera.

“Sekurang-kurangnya, kalau tidak dapat dipinda, mereka akan membuat satu peruntukan khas untuk membolehkan sijil kematian dikeluarkan dengan segera kepada 54 rakyat Malaysia yang terus tidak dapat dihubungi dan dipercayai telah hilang tanpa dapat dikesan hingga kini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional Malaysia (PerSoNa) Kali Ke-10 Sesi 2025 di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Tragedi banjir besar dan aliran puing yang melanda kawasan sempadan Nepal-China pada 26 Ogos lalu mengakibatkan kemusnahan besar apabila aliran air deras membawa lumpur, batu dan serpihan merempuh kawasan penempatan serta laluan perhubungan.

Pada peringkat awal, seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan tidak dapat dihubungi selepas bencana berkenaan, namun seorang daripada mereka kemudian disahkan selamat dan pulang ke tanah air pada awal Oktober lalu.

Perkembangan itu menyaksikan 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dikesan, manakala usaha mengesahkan status mereka diteruskan melalui kerjasama pihak berkuasa Malaysia dan Nepal.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, berdasarkan peraturan sedia ada di Nepal, sijil kematian boleh dikeluarkan bagi kes kematian yang disahkan, namun proses bagi individu yang hilang dan tidak dapat dikesan mengambil masa sehingga tiga tahun.

Katanya, tempoh berkenaan menimbulkan kesukaran kepada keluarga terdekat mangsa, khususnya dalam menguruskan komitmen kewangan yang memerlukan pengesahan status kematian.

“Ini dapat memudahkan keluarga terdekat mereka untuk berurusan dengan bank, insurans dan pelbagai pihak lain.

“Perkara ini sedang kita uruskan dan insya-Allah, ia dalam proses. Kita berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Nepal bagi memastikan penyelesaian yang bersesuaian dapat dicapai, terutama bagi membantu waris yang terkesan.

Dalam perkembangan berasingan, Mohamad berkata, kerajaan Malaysia turut membincangkan kemungkinan menyalurkan bantuan tambahan kepada Indonesia bagi membantu negara itu menangani kebakaran hutan yang semakin tidak terkawal.

Katanya, beberapa agensi kerajaan termasuk Kementerian Luar, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat masing-masing bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh disalurkan.

Beliau berkata, bantuan yang berpotensi termasuk penggunaan aset helikopter dan pesawat jenis Bombardier yang boleh membawa air bagi membantu operasi memadamkan kebakaran.

Bagaimanapun, katanya, keadaan kebakaran di kawasan pedalaman serta jerebu tebal yang mengehadkan jarak penglihatan menyukarkan operasi pemadaman menggunakan pesawat.

“Perkara itu sedang dibincangkan. Saya akan menunggu hasil mesyuarat berkenaan sebelum membentangkannya kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan bagi menghantar apa jua bentuk bantuan yang bersesuaian kepada Indonesia,” katanya. – UTUSAN 

The post Nepal pertimbang pindaan undang-undang percepat sijil kematian 54 rakyat Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved