‘Nervous’ tapi berani, anak Sarawak cuba jadi model

LocalEntertainment
24 Aug 2025 • 8:02 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

PUTRAJAYA – Seorang anak muda dari Bintulu, Sarawak mencuri perhatian apabila tampil berani mencuba nasib dalam uji bakat pencarian model Sota Store My meskipun latar belakangnya lebih sinonim dengan dunia sukan berbanding hiburan atau fesyen.

Peserta berusia 20 tahun itu, Matthew Belayung, berkata keberaniannya hadir ke uji bakat tersebut adalah kerana mahu membuka peluang baharu untuk dirinya.

“Saya datang hari ini untuk cuba nasib. Bakat saya bukan hanya dalam bidang usukan, tapi juga ingin mencuba dunia hiburan. Kalau ada rezeki atau peluang, saya cuba saja,” katanya ketika ditemui MYBERITA selepas sesi uji bakat di sini, hari ini.

Matthew yang kini bermain untuk pasukan bola sepak KB Rimau Muda mengakui agak gementar ketika naik ke pentas kerana menjadi peserta pertama dipanggil juri.

“Memang terkejut juga bila saya orang pertama dipanggil. Saya pun belum sempat nak ‘prepare’ sangat, lagipun ini kali pertama saya sertai uji bakat untuk dunia hiburan,” katanya sambil tersenyum.

Mengenai pandangannya terhadap fesyen tempatan, Matthew menyifatkan rekaan jenama lokal semakin berkembang pesat dan setanding dengan jenama antarabangsa.

“Sekarang ramai pereka Malaysia yang kreatif. Harga jenama lokal pun lebih berpatutan untuk rakyat, kualitinya pun ada. Kalau kita sokong lokal, kita juga sebenarnya sokong pereka negara kita sendiri,” ujarnya.

Walaupun baru pertama kali mencuba bidang ini, Matthew turut terbuka untuk melangkah lebih jauh termasuk dalam dunia lakonan.

“Kalau diberi peluang berlakon, saya okay. Cuma saya lebih yakin kalau berlakon dalam aksi. Kalau cinta romantik tu mungkin bukan untuk saya,” katanya.

Kehadiran peserta seperti Matthew menunjukkan bahawa Sota Store My bukan sahaja menjadi medan mencari bakat baharu dalam fesyen, malah platform untuk anak muda pelbagai latar belakang mencabar diri dan mengembangkan potensi dalam dunia hiburan.