• Netanyahu jadikan perkahwinan anak sebagai alasan untuk rahsiakan serangan ke Iran
• Operasi “Red Wedding” bunuh saintis nuklear Iran di rumah mereka
• Rakyat Israel dan ahli politik kecam tindakan itu sebagai tidak sensitif dan egois
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilapor sanggup mempergunakan majlis perkahwinan anak lelakinya sebagai alasan untuk menyembunyikan persiapan serangan ketenteraan terhadap Iran.
Menurut laporan, Netanyahu terdahulu mengumumkan beliau akan menghadiri perkahwinan anaknya pada 16 Jun. Namun, pengumuman itu sebenarnya hanyalah taktik untuk mengaburi perhatian pihak luar, sedangkan Israel sudah pun melancarkan serangan pada 13 Jun.
Operasi sulit itu dikenali sebagai “Red Wedding” yang menyasarkan beberapa saintis nuklear Iran sehingga mengakibatkan kematian mereka di kediaman masing-masing. Apa yang lebih mengejutkan, keluarga Netanyahu sendiri, termasuk anaknya yang bakal berkahwin tidak dimaklumkan majlis tersebut akan dibatalkan sekali lagi kerana urusan perang.
Mengapa Netanyahu jadikan perkahwinan sebagai alasan?
Tindakan ini dipercayai bertujuan mencipta gambaran kononnya Israel sedang berusaha mencari jalan damai bersama Amerika Syarikat, padahal perancangan ketenteraan telah pun bermula lebih awal. Dalam masa yang sama, Amerika Syarikat turut melaksanakan beberapa siri serangan terhadap kemudahan nuklear Iran sehingga gencatan senjata sementara tercapai pada 23 Jun lalu.
Pendedahan tersebut mengundang kritikan hebat daripada rakyat Israel dan ahli politik pembangkang yang menuduh Netanyahu terlalu mementingkan kepentingan politik dirinya sendiri sehingga sanggup menjadikan majlis perkahwinan anaknya sebagai helah peperangan.
Laporan itu menyebut, peristiwa ini menjadi peringatan bahawa pemimpin politik seperti Netanyahu sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai kepentingan diri, biarpun terpaksa menggunakan hal peribadi untuk menutup operasi ketenteraan.
Sehingga kini, keadaan sebenar program nuklear Iran dan sejauh mana gencatan senjata itu mampu bertahan masih belum diketahui. – Agensi
The post Netanyahu batalkan majlis kahwin anak demi serangan rahsia ke Iran – Laporan appeared first on The Reporter.



