Netanyahu dakwa Israel menang besar, ancaman nuklear Iran berjaya disingkirkan

WorldPolitics
25 Jun 2025 • 11:42 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

• Netanyahu isytihar kemenangan perang 12 hari sebagai ‘bersejarah’
• Serangan AS bantu musnahkan tapak nuklear bawah tanah Iran
• Netanyahu beri amaran: “Iran tidak akan miliki senjata nuklear”

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengisytiharkan kemenangan besar dalam perang 12 hari dengan Iran, sambil mendakwa mereka telah berjaya menghapuskan dua ancaman utama terhadap keselamatan negara itu, termasuk ancaman pemusnahan melalui program nuklear Iran.

Dalam satu kenyataan video dikeluarkan pejabatnya, Netanyahu berkata, “Kita telah menghapuskan dua ancaman paling besar terhadap kewujudan negara kita iaitu ancaman serangan nuklear dan ancaman 20,000 peluru berpandu balistik.”

Beliau menegaskan, jika Iran cuba menghidupkan semula program nuklearnya, Israel tidak akan berdiam diri.

“Jika ada sesiapa di Iran yang cuba hidupkan semula projek ini, kami akan bertindak dengan tekad dan kekuatan yang sama. Saya ulang, Iran tidak akan memiliki senjata nuklear.”

Israel terhutang budi dengan Trump

Netanyahu turut memuji sokongan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang didakwanya memainkan peranan besar dalam memusnahkan tapak nuklear bawah tanah Iran.

“Rakan kita Presiden Trump telah menyebelahi kita dalam cara yang belum pernah berlaku sebelum ini. Di bawah arahannya, tentera Amerika Syarikat memusnahkan tapak pengayaan bawah tanah di Fordow,” kata Netanyahu.

Tapak tersebut dipercayai menjadi pusat utama program nuklear Iran dan serangan yang dilakukan menggunakan bom khas jenis ‘bunker-buster’.

Isu belum selesai: Hamas dan tebusan

Walaupun mengisytiharkan kemenangan terhadap Iran, Netanyahu berkata misi Israel masih belum selesai sepenuhnya. Beliau merujuk kepada konflik berterusan dengan Hamas di Gaza dan penahanan tebusan oleh kumpulan itu.

“Kita mesti selesaikan kempen menentang paksi Iran, kalahkan Hamas dan pastikan semua tebusan yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dibawa pulang,” tegasnya.

Difahamkan, kira-kira 50 tebusan masih berada dalam tahanan Hamas sejak serangan mengejut pada 7 Oktober 2023, dan hanya sekitar 20 daripadanya dipercayai masih hidup.

Kenyataan Netanyahu itu hadir beberapa jam selepas Trump mengkritik Israel kerana didakwa melanggar gencatan senjata yang dirundingkan oleh Washington.

Sumber: Reuters