Netanyahu hubungi Trump setiap hari hasut sambung perang Iran

WorldPolitics
11 Nov 2026 • 4:14 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Netanyahu hubungi Trump setiap hari hasut sambung perang Iran

WASHINGTON: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dilaporkan menghubungi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, setiap hari bagi menghasut Washington menyambung semula serangan terhadap Iran.

The Financial Times mendedahkan desakan berterusan itu didorong oleh hasrat kepimpinan Israel yang mahu menekan Teheran meskipun usaha diplomatik antarabangsa sedang giat dijalankan bagi menamatkan konflik serantau.

Sumber yang mempunyai maklumat berhubung perbincangan terbabit memaklumkan pegawai di dalam dan luar Rumah Putih yang menentang pertempuran baharu kini berusaha menangkis tekanan politik yang dimainkan Netanyahu.

Pemimpin negara-negara Arab dan Teluk dilaporkan bimbang terhadap tindakan Israel yang terus menghasut campur tangan ketenteraan ke atas Iran.

Menegaskan pendirian terkini AS, Trump menerusi hantaran di platform Truth Social mengesahkan sekutu Teluk menolak sebarang kempen ketenteraan baharu terhadap Teheran susulan perbincangan bersama Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani.

Beliau menjelaskan negara seperti Qatar, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Kuwait lebih cenderung untuk mengekalkan kestabilan semasa menerusi saluran rundingan.

Netanyahu yang kini bertindak sebagai perdana menteri sementara susulan pilihan raya Israel yang belum dimuktamadkan bulan lalu, mendesak serangan bersama AS-Israel dilancarkan demi meruntuhkan pentadbiran Iran.

Bagaimanapun, Trump menyifatkan terdapat momentum positif ke arah menamatkan pertempuran yang berlarutan selama hampir sembilan bulan, selain menganggap pelancaran serangan baharu AS ke atas Iran kini amat sukar berlaku.

Pegawai diplomatik mengesahkan konsensus antarabangsa yang menetapkan bahawa pendekatan diplomasi tetap menjadi keutamaan demi mencapai penyelesaian menyeluruh antara pihak bertelagah.

Pemimpin serantau termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, Putra Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, serta Presiden UAE, Mohammed bin Zayed Al Nahyan dilaporkan telah mengadakan perbincangan dengan Trump bagi menggesa lebih banyak ruang diberi kepada diplomasi.

Pemimpin Asia Barat bimbang bahawa cetusan pertempuran baharu berpotensi mengundang tindak balas lebih agresif daripada Iran, sekali gus memburukkan lagi ketidakstabilan di seluruh rantau terbabit. -ANADOLU

The post Netanyahu hubungi Trump setiap hari hasut sambung perang Iran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved