
TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dilihat semakin kehilangan sokongan ketika pesaing politiknya mula meraih kedudukan lebih kukuh, hanya 56 hari sebelum pilihan raya negara itu, lapor Anadolu.
Pilihan raya Knesset dijadualkan berlangsung pada 27 Oktober, dengan beberapa tinjauan menunjukkan sokongan terhadap Netanyahu dan parti Likud pimpinannya terus merosot.
Netanyahu menganggap pilihan raya itu sebagai penentu masa depan politik dan peribadinya ketika beliau berdepan pertuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah.
Beliau juga berdepan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sejak 2024 berhubung dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Netanyahu melihat kedudukan Perdana Menteri sebagai benteng daripada kemungkinan sabitan dalam kes rasuah yang masih dibicarakan di Mahkamah Pusat Israel.
Beliau berharap dapat membentuk kerajaan selepas pilihan raya atau sekurang-kurangnya berlaku kebuntuan politik apabila beliau dan pembangkang gagal membentuk gabungan.
Situasi itu boleh mencetuskan pilihan raya baharu, sekali gus membolehkan Netanyahu kekal berkuasa sehingga kerajaan baharu dibentuk.
Tinjauan penyiar awam Israel yang diterbitkan pada malam Ahad menunjukkan blok Netanyahu dijangka memenangi 52 kerusi sekiranya pilihan raya diadakan ketika ini.
Pembangkang bukan Arab pula dijangka memperoleh 55 kerusi, manakala parti Arab meraih 13 kerusi.
Sesuatu blok parti memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 61 Ahli Knesset daripada keseluruhan 120 kerusi untuk membentuk kerajaan.
Parti pembangkang boleh mendapatkan sokongan wakil Arab bagi membentuk kerajaan, namun kebanyakan pemimpin mereka menolak langkah berkenaan.
Perhatian kini beralih kepada bekas Ketua Turus Tentera Israel, Gadi Eisenkot, yang dilihat sebagai tokoh pembangkang paling berpotensi membentuk kerajaan.
Parti baharunya, Yashar, mencatat peningkatan sokongan dalam beberapa minggu kebelakangan ini sehingga mengatasi Likud pimpinan Netanyahu, yang selama ini mendominasi politik Israel.
Menurut tinjauan itu, Yashar dijangka memenangi 24 kerusi berbanding 21 kerusi bagi Likud.
Tinjauan sama turut menunjukkan Eisenkot mengatasi Netanyahu dari segi kesesuaian untuk jawatan Perdana Menteri, dengan 40 peratus responden menganggap beliau lebih layak memimpin kerajaan akan datang berbanding 37 peratus yang memilih Netanyahu.
Netanyahu kini menggunakan pelbagai pendekatan bagi meningkatkan sokongan terhadap parti-parti berhaluan kanan.
Beliau turut dituduh di Israel menutup mata terhadap keganasan yang dilakukan peneroka Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat bagi mengekalkan sokongan golongan peneroka sebagai sebahagian daripada pangkalan pengundi blok kanan.
The post Netanyahu makin tertekan menjelang pilihan raya Israel appeared first on Utusan Malaysia.





