
TEL AVIV – Perdana Menteri Benjamin Netanyahu semalam menolak pelan Gaza disokong Hamas yang dikemukakan Amerika Syarikat (AS) sekali gus meletakkan jurang antara dirinya dan Presiden Donald Trump ketika dia cuba mengukuhkan sokongan menjelang pilihan raya Israel yang sengit.
Netanyahu jelas menentang perjanjian itu berikutan tekanan daripada sekutu sayap kanannya.
“Israel menolak dokumen 15 perkara ini,” kata Netanyahu, merujuk kepada pelan yang dipersetujui Hamas akhir Julai lalu.
Menurut Netanyahu, tentera Israel tidak akan berundur sehingga Hamas benar-benar melucutkan senjata, dan akan terus menyekat ancaman terhadap tentera dan rakyatnya.
Netanyahu menambah, dia bersedia untuk mencabar pelan Trump, dengan mengatakan Israel sedang mengemukakan bantahan kepada Amerika Syarikat.
“Mereka mempunyai idea; sebahagian daripadanya boleh diterima oleh kami dan sebahagian lagi tidak, dan kami tahu bagaimana untuk mempertahankan pendirian kami dalam hal ini,” katanya.
Netanyahu semakin mendapat sokongan menjelang pilihan raya Israel pada 27 Oktober ini, demikian menurut beberapa tinjauan pendapat.
Tinjauan juga menunjukkan pelan Gaza tidak popular dalam kalangan anggota sayap kanan kabinetnya yang menggesa Netanyahu membatalkannya.
Ketua organisasi Trump yang melaksanakan pelan digelar Lembaga Keamanan itu mempertahankan pelan tersebut sebagai cara untuk mengelakkan peristiwa 7 Oktober daripada berulang.
“Pilihan yang kami tawarkan adalah satu-satunya jalan ke hadapan yang akan memastikan tragedi tidak berlaku lagi,” kata wakil tinggi Lembaga Keamanan, Nickolay Mladenov kepada televisyen Saluran 12 Israel. – AFP
The post Netanyahu tolak pelan damai Trump appeared first on Kosmo Digital.




