
PETALING JAYA: Pelakon, Zahiril Adzim menyifatkan tindakan netizen menegur penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam sebuah poster baru-baru ini sebagai satu langkah yang tepat.
Zahiril atau Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 42, yang juga merupakan alumni akademi seni itu, mengakui terkejut apabila institusi yang melahirkan pengkarya seni memilih menggunakan imej janaan AI untuk poster ucapan tahniah pelantikan Datuk Syafinaz Selamat sebagai Profesor Adjung Tersohor UPSI.
“AI ini memang ada macam-macam isu sekarang. Saya rasa kita kena menggunakan teknologi dengan bijak dan jangan mengharapkan 100 peratus kepadanya.
“Kita belajar di sini (ASWARA) kerana bakat, dan bakat itulah yang menjadi punca rezeki kita. Jadi, penggunaan teknologi haruslah selari dan seimbang dengan bakat yang ada,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pelakon filem Bunohan itu menjelaskan bahawa AI sepatutnya hanya berfungsi sebagai alat bantuan untuk mencari idea awal, bukannya sebagai produk akhir yang mengetepikan sentuhan manusia.
“Macam saya sendiri yang terlibat dalam bidang grafik untuk jenama Bobysans, saya guna AI untuk dapatkan idea kasar sahaja. Selepas itu, kita perlu laras semula, buat penambahbaikan dan improvisasi.
“Untuk menghasilkan bakat seni bukan mudah, ia memerlukan latihan yang lama. Jika kita sendiri tidak menghargai bakat yang ada, satu hari nanti kita mungkin akan kehilangan bakat-bakat ini sepenuhnya,” katanya.
Zahiril turut memuji kepekaan pengguna media sosial yang lantang menyuarakan kritikan sehingga pihak pengurusan ASWARA bertindak menurunkan poster tersebut.
“Terkejut jugalah bila sekolah seni sendiri buat begitu. Mungkin ada yang fikir ‘eh, mudahnya cara kau kan?’. Namun, saya percaya ASWARA ada alasan mereka sendiri.
“Bagaimanapun, dari situ kita dapat nampak netizen menggunakan kuasa mereka di tempat yang betul. Mereka mengecam pada tempat yang tepat sehingga pihak berkenaan sedar akan kesilapan yang dilakukan,” ujarnya.
Terdahulu, ASWARA menerima kecaman hebat selepas memuat naik poster ucapan tahniah memaparkan wajah Datuk Syafinaz Selamat menggunakan imej AI yang dianggap tidak mencerminkan identiti sebuah institusi seni.
The post Netizen guna kuasa di tempat betul tegur penggunaan poster AI – Zahiril Adzim appeared first on Utusan Malaysia.



