
KUALA LUMPUR: Usia tidak menjadi penghalang kepada seorang pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) untuk tetap bergiat dalam dunia pementasan teater Muzikal.
Pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Juhara Ayob, 54, kini sedang melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD)di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sambil meneruskan kerjaya sebagai pelakon.
Menurut Juhara, keputusan melanjutkan pengajian adalah satu cabaran buat dirinya selain usaha untuk terus memperkaya ilmu dan menguji kemampuan diri.
“Saya melanjutkan pengajian PhD adalah untuk mencabar diri dan sentiasa berdoa semoga setiap fasa dipermudahkan kerana terlalu banyak dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi.
“Tambahan pula, saya bekerja sambil belajar kerana kos pengajian ditanggung sendiri sepenuhnya. Pada masa sama, saya perlu bijak membahagikan masa antara keluarga, kerjaya dan cita-cita untuk menggenggam segulung PhD,” katanya.
Juhara yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Skrin menerusi Cinta Si Penggali Kubur berkata, kesibukan dengan tugas hakiki tidak bermakna dia perlu meninggalkan dunia seni.
“Tak pernah berehat, cuma aktiviti seni agak terbatas kerana kerja hakiki. Jadi, saya hanya terlibat dalam pementasan yang tidak mengganggu jadual dan tugas, antaranya Teater Muzikal Tomyam Berdarah terbitan CTRA Production dengan membawakan watak Bonda Roti.
“Saya jarang mendapat naskhah bergenre komedi, jadi apabila ditawarkan, saya terus berminat untuk mencuba. Ini peluang keemasan untuk saya keluar daripada zon selesa,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran menjayakan pementasan itu, Juhara berkata elemen muzikal yang diterapkan dalam naskhah berkenaan memerlukan komitmen tinggi, khususnya dalam aspek nyanyian yang bukan bidang kepakarannya.
“Bagi memastikan lakonan saya bersahaja dan meninggalkan kesan kepada penonton, saya sentiasa berbincang dengan pengarah, Aloeng Silalahi, dari segi idea dan perkembangan watak Bonda Roti.
“Watak ini ialah seorang penyiasat berpengalaman yang bijak membuat tafsiran, jadi saya perlu memahami karakter itu dengan sebaik mungkin,” katanya.
Juhara turut menyifatkan peluang berkongsi pentas bersama bakat muda dari UKM dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai pengalaman yang cukup bermakna.
Teater Muzikal Tomyam Berdarah merupakan pementasan interaktif bergenre satira jenayah yang menggabungkan elemen komedi gelap, siasatan dramatik dan naratif makanan tempatan.
Kisahnya berlatarbelakangkan sebuah restoran yang sedang membuat persiapan untuk menyertai pertandingan Master Chef Universe sebelum pemilik restoran, Chef Rahman, ditemukan mati di dalam periuk tomyam warisannya sendiri.
Susulan kejadian itu, dapur restoran bertukar menjadi lokasi jenayah, manakala setiap pekerja menjadi suspek yang mempunyai motif serta rahsia tersendiri.
Selain Juhara, pementasan itu turut menampilkan Karl Shafek serta kumpulan pelajar dari UKM dan USIM.
Pementasan berkenaan turut dilihat sebagai salah satu bentuk sokongan terhadap usaha memperkasa dan mengasah kemahiran generasi muda dalam bidang kulinari menerusi sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Dalam masa sama, CTRA Production dan Peran Opera mengangkat industri makanan dan minuman (F&B) menerusi pementasan berkenaan, selaras dengan perkembangan landskap gastronomi yang semakin mendapat perhatian masyarakat. -UTUSAN
The post Usia bukan penghalang berkarya, terus cabar kemampuan diri appeared first on Utusan Malaysia.






