Netizen Singapura Kurang Senang Tindakan Individu Gantung Jalur Gemilang Di Flat HDB

Entertainment
13 Aug 2024 • 3:02 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Tanggal 9 Ogos baru-baru ini merupakan hari kemerdekaan negara jiran iaitu Singapura dan sama situasinya di sana, kebiasaannya bendera negara tersebut akan digantung bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan.

Seperti kebiasaan, untuk seseorang perantau, mengibarkan bendera negara masing-masing merupakan suatu kemegahan dan mungkin juga untuk mengubat rindu.

Pun begitu, perkara berbeza berlaku di Singapura kerana perbuatan mempamerkan bendera negara lain adalah didakwa suatu kesalahan dan adalah salah di sisi undang-undang bagi rakyatnya untuk mempamerkan bendera negara lain.

image is not available

Baru-baru ini, sebuah video di TikTok telah menimbulkan pelbagai reaksi netizen terutamanya Singapura.

Video yang dikatakan telah dirakam di sebuah flat HDB di Yishun Central tersebut memperlihatkan bendera Malaysia telah digantung sebaris dengan bendera Singapura.

Walaupun ianya seperti perkara biasa memandangkan ramai rakyat Malaysia bekerja di sana, tindakan tersebut telah mengundang kemarahan segelintir pengguna media sosial.

Menurut mereka, tindakan tersebut telah melanggar undang-undang negara tersebut kerana mempamerkan bendera negara lain adalah satu kesalahan menurut Akta Lambang Negara Asing 1949.

Selain itu, individu yang didapati bersalah berbuat demikian boleh dikenakan denda sehingga SGD500 (~RM1,681), penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Di ruangan komen, majoriti netizen dari Singapura meluahkan rasa marah dan tidak berpuas hati dengan perkara tersebut dan ada yang meminta tindakan diambil kepada pelaku.

image is not available

Namun, tidak kurang yang memuji pelaku atas dasar patriotisme kerana Malaysia juga akan menyambut ulang tahun kemerdekaan tidak lama lagi.

Menurut satu perkongsian, perkara tersebut termaktub dalam Statut Singapura, Akta Lambang Negara (Kawalan Pameran) yang menyatakan bahawa memaparkan mana-mana bendera atau lambang negara yang bukan Singapura di khalayak ramai dianggap sebagai kesalahan.

Tidak hanya terpakai untuk bendera asing, rupa-rupanya undang-undang bagi mempamerkan bendera negara agak ketat di Singapura.

Sebagai contoh, sekiranya bendera ingin dipamerkan di luar bangunan, ia hanya boleh dipamerkan di bahagian depan bangunan dan selepas tempoh sambutan kemerdekaan yang tamat pada 30 September, bendera hanya boleh dikibarkan di tiang bendera.

Selain itu, bendera yang dikibarkan mestilah bersih dan tidak pudar selain ianya perlu dijemur berasingan sekiranya dibasuh dengan pakaian atau basuhan yang lain.

Sumber : TikTok | Stomp

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.