Netizen Teruja Foto Hannah Jumpa Khairy, ‘Inilah Bukti Politik Matang’

Politics
23 Dec 2022 • 10:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hannah mengadakan pertemuan dengan Khairy di sebuah kafe. - Gambar dari Twitter Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Sekeping gambar memaparkan pertemuan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama mantan orang nombor satu kementerian itu, Khairy Jamaluddin menarik perhatian serta menjadi bualan warga maya hari ini.

Pertemuan dipercayai di sebuah kafe yang menunjukkan kedua-dua pemimpin itu duduk semeja dimuat naik sendiri Hannah di Instagram. 

Ahli Parlimen Segambut itu berkata, pertemuan berkenaan adalah bagi beliau mendengar idea, pandangan serta pengalaman Khairy dalam mentadbir Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Terima kasih kerana meluangkan masa. Saya percaya kepada kepimpinan inklusif, terutamanya untuk portfolio seperti belia dan sukan,” katanya menerusi keterangan di gambar itu.

Dalam pada itu, pertemuan kedua-dua pemimpin terbabit mendapat respon positif daripada netizen yang menyifatkan mereka matang berpolitik. 

Rata-rata menyatakan kesudian dua pemimpin berkenaan bertemu amat baik, demi pembangunan belia dan industri sukan negara walaupun berbeza parti serta ideologi.

“Tahniah YB (Yang Berhormat), suka dengan Perdana Menteri dan Kabinet sekarang merendah diri bertemu menteri sebelum ini bertanya pendapat berikutan mereka berpengalaman sebelum ini.

“Semoga Malaysia semakin maju jaya,” kata arlinnmuhammad. 

“Saya harap kedua-dua pemimpin ini dapat bekerjasama demi masa depan negara dan generasi akan datang. Khairy, kami sentiasa mendoakan agar beliau menang dalam pemilihan parti tidak lama lagi,” komen mni64 pula. 

“Hebat Yang Berhormat (Hannah), merendah diri berjumpa dengan mantan untuk belajar dan dapatkan pendapat mahupun pandangan. Saya hormat awak,” ujar Sheila Rozi. 

“Inilah kematangan politik Malaysia. Terima kasih Tuhan. Alhamdulillah,” tulis Hasnan Abdullah. - Getaran, 23 Disember 2022.