Belanjawan 2027: Pakej RM160 juta bantu pekerja ekonomi gig selenggara kenderaan dan caruman Perkeso

LocalBusiness & Finance
9 Oct 2026 • 4:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027: Pakej RM160 juta bantu pekerja ekonomi gig selenggara kenderaan dan caruman Perkeso Image from: Belanjawan 2027: Pakej RM160 juta bantu pekerja ekonomi gig selenggara kenderaan dan caruman Perkeso amree09/10/2026 - 16:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Okt — Kerajaan bersama-sama Grab akan membiayai pakej bernilai RM160 juta bagi meningkatkan pendapatan bersih serta menambah baik kebajikan pekerja ekonomi gig, khususnya pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing, mulai 2027.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pakej tersebut merangkumi peningkatan kadar pendapatan minimum, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

 

"Menerusi inisiatif berkenaan, pendapatan bersih bulanan pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat sehingga RM227, manakala pendapatan penghantar p-hailing bertambah sehingga RM100 sebulan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Dalam pada itu, Majlis Perundingan Gig sedang mengadakan rundingan bagi menetapkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan dan standard minimum perlindungan sosial untuk pekerja gig. Ketetapan berkenaan dijangka dimuktamadkan pada awal 2027.

 

Kerajaan turut menawarkan insentif caruman padanan Perkeso sebanyak 35% kepada pekerja e-hailing dan p-hailing, yang akan dinaikkan kepada 50% sekiranya syarikat platform turut menanggung caruman pekerja.

 

Insentif caruman padanan PERKESO sebanyak 70% turut disediakan kepada lebih 200,000 individu bekerja sendiri dalam 17 sektor tidak mandatori.

 

Selain itu, pelepasan cukai PERKESO akan diperluas meliputi caruman wajib Skim Lindung Kendiri, manakala pelepasan tambahan sehingga RM150 ditawarkan bagi caruman sukarela Skim Lindung 24 Jam dan Lindung Kendiri.

 

Bagi menggalakkan simpanan persaraan, kerajaan turut menawarkan insentif caruman padanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pemandu e-hailing dan p-hailing sehingga RM600 setahun atau RM6,000 sepanjang hayat.

 

Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank pula menyediakan pembiayaan berjumlah RM270 juta untuk membantu pekerja gig yang ingin memulakan perniagaan atau membeli rumah pertama.

 

Dalam usaha memperkukuh kawal selia sektor berkenaan, kerajaan akan mengawal selia industri p-hailing secara menyeluruh di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

 

Kerajaan turut bersetuju mendaftarkan setiap warganegara secara automatik sebagai ahli KWSP apabila mencapai usia 18 tahun bagi menggalakkan simpanan persaraan bermula lebih awal. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved