Nexea sasar 1,000 peserta sertai Sidang Kemuncak Keusahawanan ke-4 pada 17 Oktober ini
zulfadli
02/10/2023 - 12:49
KUALA LUMPUR 2 Okt - Nexea menyasarkan seramai 1,000 peserta, termasuk 500 usahawan teknologi menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Keusahawanan kali ke-4 yang akan berlangsung pada 17 Oktober ini di Menara Affin, TRX.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nexea, Ben Lim berkata, penganjuran sidang kemuncak itu bertujuan menyemarakkan semangat keusahawanan dan memacu inovasi, kerjasama dan pertumbuhan di Malaysia.
Beliau berkata, ia juga berperanan penting sebagai ejen transformasi usahawan pemula, pelabur, kerajaan, dan syarikat.
Katanya, sidang kemuncak kali ini mempunyai misi lebih tinggi daripada sidang-sidang sebelumnya, dengan menyediakan platform yang mampu menggalakkan idea, kerjasama, dan pembentukan perkongsian strategik.
"Dengan tumpuan pada masa hadapan, Sidang Kemuncak Keusahawanan tahun ini akan mengenengahkan tema-tema menarik seperti risiko usahawan, pengembangan dan penaklukan, peralihan kepada kematangan, dan kepayahan pemula.
"Para hadirin boleh mengharapkan sesi yang menarik, termasuk ucaptama, perbincangan panel, dan peluang sesi perangkaian yang diadakan untuk merangsang pemikiran kreatif, berkongsi pandangan berharga, dan membuka peluang baharu," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Sidang Kemuncak Keusahawanan anjuran bersama MyDIGITAL Corporation tahun ini menampilkan penceramah utama, termasuk Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Pengasas dan CEO Loob Holding (Tealive & Bask Bear Coffee), Bryan Loo; Pengasas The Noor, Noor Neelofa Mohd Noor; CEO MyDIGITAL, Fabian Bigar; CEO Malaysia Debt Ventures Bhd, Nizam Mohamed Nadzri dan Ketua Perniagaan Digital dan Inovasi Affin Bank, Boon Kim San.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Bhd, Datuk Wan Razly Abdullah pula berkata, pihaknya berbangga menjadi rakan kongsi untuk sidang kemuncak tersebut.
Katanya, acara itu akan berfungsi sebagai platform mendalam yang mana usahawan, terutamanya syarikat permulaan, boleh berhubung dengan rakan kongsi yang berfikiran sama dalam ekosistem, memanfaatkan kepakaran kolektif mereka.
"Di Affin, komitmen kami melangkaui perbankan kerana kami terus memainkan peranan penting dalam mewujudkan impak yang berkekalan dalam komuniti keusahawanan," katanya.
Neelofa yang juga selebriti dan usahawan berkata, sidang kemuncak tersebut menyatukan korporat dan pelabur dan merupakan peluang berharga untuk perangkaian, menemui inovasi, memupuk perkongsian, dan mendapatkan pandangan mengenai trend pasaran.
"Ia mewujudkan persekitaran yang dinamik yang mana syarikat dan pelabur yang mampan boleh melibatkan diri dengan syarikat permulaan untuk meneroka kerjasama dan pelaburan yang saling menguntungkan," katanya. - DagangNews.com



