Nextgreen, firma China bekerjasama bangunkan kilang pulpa bersepadu pertama Malaysia berkapasiti 150,000 tan di Pahang

16/04/2025 - 14:38
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 16 April – Nextgreen Global Berhad (NGGB), pengeluar pulpa dan kertas, hari ini mengumumkan anak syarikatnya, Nextgreen IOI Pulp Sdn. Bhd. (NIP) menandatangani perjanjian usaha sama dengan Hong Kong Paper Sources Co. Limited, anak syarikat milik penuh Xiamen C&D Paper & Pulp Group Co. Ltd. (Xiamen C&D Paper & Pulp) untuk membangunkan kemudahan pengeluaran pulpa bersepadu pertama di Malaysia.
Syarikat Usaha Sama itu akan menerajui pembangunan sebuah kemudahan pengeluaran pulpa berkapasiti tinggi dan berteraskan bio di Taman Teknologi Hijau (Green Technology Park – GTP) di Pekan, Pahang.
Ia merupakan salah satu lokasi strategik di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Zon Ekonomi Khas.
NIP akan memegang 75% ekuiti dalam syarikat usaha sama manakala 25% lagi dimiliki Xiamen C&D Paper & Pulp. Untuk rekod, NIP merupakan syarikat usaha sama antara NGGB dan IOI Corporation Bhd.
Syarikat itu tersenarai dalam senarai Fortune Global 500 yang terlibat dalam sektor pengeluaran pulpa dan kertas serta pembangunan hartanah di China dan beberapa negara lain.

Kemudahan itu akan dibina di atas tanah seluas 32.8 hektar dalam kawasan GTP itu dijangka siap dalam tempoh 24 bulan dan akan menggunakan sumber biojisim kelapa sawit yang melimpah di Malaysia, khususnya tandan kosong kelapa sawit (Empty Fruit Bunch – EFB) untuk menghasilkan pulpa berkualiti tinggi.
Fasa pertama projek itu akan menghasilkan sebanyak 150,000 tan metrik (MT) pulpa setiap tahun dengan anggaran jumlah perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM900 juta.
NGGB akan menyumbang kepakaran teknologi serta teknikal menerusi teknologi miliknya yang dipatenkan, iaitu Preconditioning Refiner Chemical-Recycle Bleached Mechanised Pulp (PRC-RBMP), manakala Xiamen C&D akan menerajui aspek pengambilan produk dan pengedaran.
Pengurus Besar Xiamen C&D Paper & Pulp Group Co. Ltd., merangkap Pengarah Hong Kong Paper Sources Co. Limited, Zhang Xiao Hui berkata, usaha sama itu merupakan bukti sinergi kukuh antara Malaysia dan China dalam agenda hijau.
"Ia juga menjadi inisiatif penting bagi Kumpulan Xiamen C&D dalam sektor pulpa dan kertas," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, dengan kekuatan NIP dalam penghasilan biojisim sawit dan kelebihan pihaknya dalam rangkaian pengedaran global, projek itu berpotensi mewujudkan rantaian bekalan pulpa dan kertas yang lebih mampan dan terintegrasi di peringkat serantau.

"Dengan menggabungkan kekuatan NIP dalam sumber dan inovasi pemprosesan biojisim sawit bersama rangkaian pengedaran kukuh kami, kerjasama ini membentuk asas kepada rantaian bekalan pulpa dan kertas yang lebih mampan, serta integrasi ekonomi serantau yang lebih kukuh,” katanya.
Disokong komitmen kukuh daripada kerajaan Malaysia dan terletak strategik dalam Zon Ekonomi Khas ECER, kawasan seluas 410 ekar GTP dijangka muncul sebagai hab serantau untuk pembuatan hijau dan aktiviti bio industri.
Xiao Hui berkata, kedua-dua pihak komited untuk mempromosi dan memajukan pembangunan kemudahan pengeluaran pulpa yang mesra alam, yang akan menjadi pemangkin penting dalam merealisasikan pelan induk GTP serta memperkasa aspirasi kedua-dua negara dalam pembangunan ekonomi yang lestari.
standard
