Nga luang masa ziarah Pengarah JBPM Selangor di hospital

20 Dec 2022 • 9:21 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming hari ini meluangkan masa menziarah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Selangor Datuk Norazam Khamis yang kini dirawat di Hospital Selayang akibat keletihan dan strok ringan.

Beliau menerusi kenyataan di Facebook berkata keadaan Norazam dilihat bertambah baik.

“Dalam pertemuan itu saya juga menyampaikan salam kasih daripada seluruh warga Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan yang mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan beliau.

“Sejak hari pertama operasi lagi Datuk Norazam mengendali operasi dan media dengan cekap dan cekal. Kesungguhan dan bakti yang dicurahkan beliau amat dihargai. Saya yakin semangat, kegigihan dan kepemimpinan beliau menjadi inspirasi kepada anggota-anggota muda JBPM,” katanya.

Semalam, Norazam yang terlibat sejak hari pertama operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali, Selangor Jumaat lepas, dikejarkan ke Hospital Selayang akibat keletihan dan strok ringan.

Nga berkata beliau turut menyampaikan penghargaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam kepada semua agensi penyelamat.

“Operasi SAR masih berjalan untuk mencari sembilan (lagi) mangsa yang masih hilang. Saya amat berharap para anggota penyelamat sentiasa menjaga keselamatan dan nyawa dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus mendoakan kejayaan misi dan keselamatan anggota-anggota penyelamat dalam menjalankan operasi yang semakin rumit dan mencabar dengan cuaca yang tidak menentu. Semoga kita terus tabah dan sabar dalam menghadapi dugaan ini,” katanya.

Tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lepas itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, 24 nyawa terkorban manakala sembilan lagi masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat.-Bernama