NGO kutip dana kemanusiaan perlu dipantau - PM

LocalPolitics
24 Apr 2026 • 5:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: NGO kutip dana kemanusiaan perlu dipantau - PM
Anwar disambut pelajar di Institut Pendidikan Guru (IPG) Temenggong Ibrahim, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU - Kerajaan menegaskan keperluan untuk memperketatkan peraturan terhadap badan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip dana bagi tujuan kemanusiaan bagi mengelakkan berlaku penyelewengan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk bantuan kepada Palestin, susulan kebimbangan terhadap isu ketelusan pengurusan sumbangan awam.

"Banyak NGO banyak guna nama Islam, kutip dana puluhan juta dan kata nk bantu rakyat Palestin tetapi akhirnya belanjakan harta itu. Sekarang kita dengar kutipan dana khairat dan sebagainya tetapi beli kemudahan peribadi.

"Jadi harus ada peraturan lebih ketat kawal perbelanjaan mana-mana badan kebajikan, khairat, amanah atau yayasan yang kutip derma tetapi seleweng, nak kata rasuah bukan kerana mereka kutip derma secara sah, ada sijil.

"Ada NGO kutip derma RM100 juta, tetapi bantuan yang sampai hanya RM20 juta, selebihnya RM80 juta diambil sebagai kos operasi," katanya.

Beliau berkata pada sesi dialog pada program Sesi Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Institut Pendidikan Guru (IPG) Temenggong Ibrahim, di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, beliau yang Menteri Kewangan turut menggesa golongan muda negara ini agar celik geopolitik dan memahami realiti semasa sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan krisis global yang semakin mencabar.

"Anak-anak muda mesti faham fakta dan realiti semasa. Jangan hanya bergantung kepada maklumat singkat tanpa penelitian, sebaliknya dalami isu termasuk geopolitik kerana ia memberi kesan langsung kepada negara.

"Sikap cepat menghukum atau membuat kesimpulan berdasarkan maklumat singkat adalah tidak sihat dan boleh merosakkan keharmonian masyarakat. Ini bukan tanda kematangan atau keilmuan, kita mahu generasi yang berfikir, meneliti dan mempunyai adab dalam berbeza pandangan," katanya.