NGO persoal penguatkuasaan, infrastruktur parkir di Penampang

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 4:26 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

NGO persoal penguatkuasaan, infrastruktur parkir di Penampang

PENAMPANG: Berita mengenai seorang warga emas berusia 71 tahun yang dikenakan saman parkir ketika masih ‘terkial-kial’ menggunakan telefon bimbitnya untuk membuat bayaran melalui aplikasi Sabah Smart Parking (SSP) menimbulkan persoalan serius berhubung pelaksanaan penguatkuasaan letak kereta di Kota Kinabalu dan Penampang.

Pengerusi Ikatan Komuniti Penampang (Ikatan Penampang) Christopher Masudal (gambar) menegaskan bahawa beliau menyokong sepenuhnya sistem parkir yang teratur dan mempunyai had masa kerana ia adil kepada pengguna jalan raya lain yang memerlukan akses ke kawasan komersial.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara begitu pantas, seolah-olah lebih bertujuan untuk mengenakan kompaun berbanding menggalakkan pematuhan undang-undang.

“Kelajuan dan tindakan penguat kuasa mengeluarkan kompaun menimbulkan tanda tanya sama ada mereka beroperasi berdasarkan arahan tertentu, sasaran prestasi atau kuota penguatkuasaan. Jika arahan itu wujud, pihak berkuasa wajar tampil memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengingatkan Majlis Perbandaran Penampang (MPP) sebelum ini pernah mempertahankan tindakan mengkompaun kenderaan yang diletakkan di luar petak parkir, termasuk bagi keadaan di mana kenderaan itu langsung tidak menghalang aliran trafik.

Christopher mengingatkan bahawa kedua-dua pendekatan penguatkuasaan ini amat sukar diterima oleh masyarakat.

“Sebelum penguatkuasaan dilakukan secara agresif, pihak berkuasa tempatan sepatutnya terlebih dahulu memastikan ruang parkir mencukupi, garisan petak parkir ditanda dengan jelas dan keadaan jalan raya berada dalam keadaan baik. Penguatkuasaan tanpa infrastruktur yang memuaskan bukanlah tadbir urus yang baik. Ia boleh dilihat sebagai satu bentuk eksploitasi terhadap rakyat,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Christopher membangkitkan persoalan lebih mendesak berhubung hasil kutipan yuran parkir di Penampang yang sudah berjalan selama dua tahun.

Beliau mendapati selepas 24 bulan kutipan dijalankan, masih belum kelihatan sebarang peningkatan memuaskan pada keadaan jalan raya, sistem perparitan tepi jalan, mahupun lampu jalan menuju ke Pekan Donggongon dan kawasan komersial lain.

Malah katanya, Pasar Donggongon pernah dilanda banjir pada tahun lalu dan pengguna media sosial terus menyuarakan rungutan mengenai keadaan jalan raya di daerah itu yang masih belum ada perubahan.

Beliau menjelaskan bahawa masyarakat Penampang pada awalnya menerima pelaksanaan bayaran parkir dengan berat hati atas kepercayaan bahawa hasil kutipan akan digunakan untuk membaik pulih jalan raya dan kemudahan awam.

Namun, kepercayaan itu kini semakin terhakis. Oleh itu, sama ada infrastruktur berkenaan di bawah bidang kuasa MPP, Jabatan Kerja Raya (JKR) atau agensi lain, rakyat berhak mendapat kepastian agensi mana yang bertanggungjawab serta bagaimana wang hasil parkir itu dibelanjakan.

Sehubungan itu, Ikatan Penampang mendesak MPP menerbitkan satu penyata akauntabiliti kutipan parkir yang telus dan mengandungi perincian berikut:    Jumlah keseluruhan hasil kutipan parkir sepanjang 24 bulan    Jumlah pembayaran yang dibuat kepada syarikat konsesi parkir    Jumlah hasil yang dikekalkan oleh pihak MPP    Kos penguatkuasaan dan perbelanjaan operasi    Jumlah hasil bersih yang diterima oleh pihak majlis serta    Laporan lengkap bagaimana hasil bersih itu  dimanfaatkan.Christopher turut menyeru Ahli Majlis MPP agar mengangkat suara warga Penampang supaya kadar bayaran parkir dikaji semula.

Beliau membandingkan kadar zon Kuning B1 di Donggongon sebanyak RM0.79 sejam yang hampir menyamai kadar RM0.80 sejam di Bangsar, sedangkan purata pendapatan bulanan penduduk Penampang (RM2,000 – RM4,500) jauh lebih rendah berbanding Bangsar (RM4,000 – RM10,000).

Beliau menegaskan bahawa jika Kerajaan Negeri serius mahu merancakkan ekonomi Penampang, ekosistem perniagaan yang kondusif mesti diwujudkan. Beban kadar parkir tinggi, yuran lesen baharu, infrastruktur lemah dan kemudahan utiliti tidak stabil yang berlaku serentak hanya menyulitkan rakyat dan pengusaha perniagaan.

“Ini bukan Sabah First tetapi Money First. Sebarang pelan kutipan hasil oleh MPP mestilah sepadan dengan keadaan ekonomi semasa serta realiti kewangan rakyat,” tegasnya.

Ikatan Penampang merupakan gerakan komuniti berasaskan pesara, pemimpin gereja dan belia yang memperjuangkan ketelusan serta tadbir urus baik di Penampang dan Sabah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved