Pas persoal kelewatan dedah RCI Tabung Haji

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 7:56 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pas persoal kelewatan dedah RCI Tabung Haji

PETALING JAYA: Pas mempersoalkan tindakan kerajaan yang didakwa sengaja menangguhkan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH), sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketelusan pentadbiran dalam mengendalikan hasil siasatan berkenaan.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, keputusan untuk meneruskan semula siasatan terhadap pihak yang didakwa melakukan kesalahan selepas laporan itu didedahkan menimbulkan tanda tanya mengapa tindakan sedemikian tidak dilaksanakan lebih awal.

“Akhirnya kerajaan setuju untuk dedah laporan RCI TH. Itu bagus, cuma persoalannya kenapa sekarang? Kenapa tidak ketika laporan RCI ini siap? Bahkan kerajaan turut setuju agar siasatan oleh pihak berkuasa disambung semula serta-merta dan sesiapa yang melanggar undang-undang akan dibawa ke muka pengadilan.

“Ertinya, selama ini kerajaan sengaja membiarkan pihak yang melanggar undang-undang tidak disiasat. Sengaja membiarkan atas sebab apa?,” katanya hari ini.

Terdahulu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan, Jemaah Menteri bersetuju supaya laporan RCI TH diklasifikasikan semula, sebelum didedahkan kepada umum hari ini.

Menurutnya, laporan itu juga akan dibentangkan dan dibahaskan dalam satu sidang khas Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.

Ahmad Fadhli turut mengkritik agenda reformasi dibawa kerajaan dengan mendakwa pelaksanaannya mengabaikan prinsip keadilan.

“Reformasi jenis apa begini jika keadilan yang sepatutnya ditegakkan segera tidak dilaksanakan?

“Bukankah jelas dan terang bahawa ia hanya untuk kepentingan politik semasa. Jika laporan sebegini penting pun kerajaan sorokkan bertahun-tahun, apakah jaminan ada lagi yang disorokkan oleh kerajaan? Keadilan yang dilewatkan adalah keadilan yang dinafikan,” katanya.-UTUSAN

The post Pas persoal kelewatan dedah RCI Tabung Haji appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved