
JOHOR BAHRU – Hasrat seorang lelaki untuk membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila dia maut, sementara seorang lagi cedera dalam nahas membabitkan dua motosikal dan tiga kereta di Kilometer (KM) 1.6, Lebuhraya Utara-Selatan hala ke pusat bandar, awal pagi Isnin.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Azrul Hisham Mohd Shaffei, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 6.25 pagi ketika mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun, sedang menunggang motosikal jenis Honda Wave dari Kempas menuju ke arah Johor Bahru.
Katanya, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri dan terjatuh di lorong kanan lebuh raya berkenaan.
"Tidak lama selepas itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha XMAX serta pemandu kereta Toyota Vios berhenti di lorong kanan dan tengah bagi membantu mangsa.
"Bagaimanapun, kereta Toyota Vios tersebut kemudiannya dilanggar pula dari arah belakang oleh sebuah Honda City.
"Ketika kedua-dua pemandu kereta itu berusaha mengalihkan kenderaan mereka ke hadapan, sebuah SUV (kenderaan sukan utiliti) jenis Subaru Impreza yang dipandu seorang lelaki warga Singapura gagal mengelak lalu merempuh mangsa yang terbaring di atas jalan selain turut melanggar penunggang Yamaha XMAX, kereta Toyota Vios, dan Honda City yang terlibat," katanya.
Mangsa, penunggang Honda Wave, kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang Yamaha XMAX mengalami kecederaan patah kaki kanan dan kini menerima rawatan di Zon Kuning, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Kesemua pemandu kereta yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis juga meminta mana-mana saksi awam yang melihat kejadian supaya tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zulpaka Bambo di talian 014-8861791.

