Niche Capital kurangkan modal RM70 juta hapuskan kerugian terkumpul

19/09/2025 - 14:43
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 19 Sept – Niche Capital Emas Holdings Berhad memperoleh kelulusan pemegang saham untuk melaksanakan pengurangan modal saham berjumlah RM70 juta bagi menghapuskan kerugian terkumpul syarikat.
Langkah itu dijangka memberi profil kewangan yang lebih bersih serta menyediakan asas kukuh untuk pertimbangan pembayaran dividen pada masa depan apabila operasi syarikat mula mencatatkan keuntungan.
Pengurangan modal tersebut adalah sebahagian daripada resolusi yang diluluskan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) hari ini.
Selain itu, pemegang saham turut meluluskan terbitan waran bonus dan penempatan persendirian.
Niche Capital berkata, waran bonus akan diagihkan secara percuma kepada pemegang saham berkelayakan, sekali gus memberi peluang untuk memiliki saham biasa tambahan dalam syarikat.
“Waran ini berpotensi memberi keuntungan modal dan menyediakan modal kerja tambahan kepada syarikat apabila dilaksanakan, tanpa bergantung pada pinjaman.
“Dalam masa sama, penempatan persendirian akan melibatkan penerbitan kira-kira 296.7 juta saham baharu dengan harga yang akan ditentukan berdasarkan Purata Harga Pasaran Berwajaran Isipadu (VWAMP) 5 hari dagangan.
“Sebahagian besar hasil penempatan akan digunakan untuk meningkatkan kemudahan pemprosesan di Sokor dan selebihnya disalurkan kepada pembangunan projek KK Hill di Kelantan,” kata Niche Capital dalam satu kenyataan.
Peruntukan hasil penempatan bagi perniagaan perlombongan akan digunakan terutamanya untuk menambah baik kemudahan sedia ada di Sokor bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Niche Capital berkata, sebahagiannya menyokong pembangunan projek KK Hill yang baharu diperoleh iaitu kawasan seluas 97.12 hektar di bawah konsesi Sejana di Kelantan.
“Kajian bebas telah mengesahkan Anggaran Sumber Mineral yang mematuhi piawaian JORC berjumlah 169,300 auns troy emas, bersamaan 7.64 juta tan bijih pada gred purata 0.69 gram setiap tan.
“Dengan tambahan sumber ini, Kumpulan kini mempunyai jumlah anggaran sumber emas sebanyak 186,400 auns troy bernilai kira-kira AS$671 juta (pada harga AS$3,600 setiap auns troy).
“Ini meletakkan Kumpulan dalam kedudukan strategik untuk muncul sebagai syarikat perlombongan emas utama di Malaysia,” kata syarikat itu.
Memandangkan sumber emas diagihkan di beberapa kawasan, Kumpulan sedang giat berunding dengan rakan usaha sama berpotensi bagi meneruskan aktiviti penerokaan dan perlombongan.
Pada masa ini, Kumpulan sedang melengkapkan proses peraturan termasuk keperluan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk tapak perlombongan yang dikenal pasti seperti KK Hill dan Sokor Midland.
Walaupun aktiviti perlombongan komersial akan dijalankan secara berperingkat, Sokor dan KK Hill dijangka menjadi tonggak utama pertumbuhan hasil Niche Capital.
Di lombong emas Sokor seluas 1,830 hektar, Niche Capital sedang menambah baik kecekapan operasi di lombong emas pertamanya dalam konsesi Sokor Utara seluas 547 hektar.
Bagi projek KK Hill pula, pihak pengurusan merancang untuk menggunakan kaedah Carbon-in-Leach dengan kapasiti sehingga 2,500 tan sehari, iaitu sehingga 70,000 tan bijih sebulan, sebagai kaedah benefisiasi emas.
Niche Capital berkata, dengan langkah yang akan dilaksanakan itu, Kumpulan bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kewangan malah dapat memfokuskan pertumbuhan mampan.
“Projek Sokor dan KK Hill akan menjadi teras kepada strategi ini dan hasil yang diperoleh membolehkan kami mempercepatkan pembangunan serta mempercepatkan sumbangan hasil.
“Kami melihat langkah ini sebagai pemacu penting dalam meningkatkan keterlihatan pendapatan, mempelbagaikan aliran hasil dan membina nilai jangka panjang kepada pemegang saham,” katanya.- DagangNews.com
standard

