Nicky Liow bayar kompaun RM10 juta sebelum 26 pertuduhan pengubahan wang haram ditarik balik - Jabatan Peguam Negara

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 2:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Nicky Liow bayar kompaun RM10 juta sebelum 26 pertuduhan pengubahan wang haram ditarik balik - Jabatan Peguam Negara Image from: Nicky Liow bayar kompaun RM10 juta sebelum 26 pertuduhan pengubahan wang haram ditarik balik - Jabatan Peguam Negara amree07/08/2026 - 14:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan ahli perniagaan, Nicky Liow Soon Hee membayar kompaun RM10 juta pada 2023 sebelum pihak pendakwaan menarik balik 26 pertuduhan pengubahan wang haram dihadapinya, sekali gus menjelaskan proses perundangan yang membawa kepada pembebasannya.

 

AGC dalam satu kenyataan berkata, keputusan menawarkan kompaun itu dibuat selepas penelitian rapi terhadap representasi yang dikemukakan oleh peguam Liow daripada firma Rajpal, Firah & Vishnu bertarikh 15 Disember 2022 dan 6 April 2023.

 

Menurut AGC, representasi tersebut memohon supaya kesemua 26 pertuduhan di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) dikompaunkan mengikut Seksyen 92 akta yang sama.

 

 

 

 

 

Selepas meneliti representasi serta bukti yang ada, AGC bersetuju menawarkan kompaun sebanyak RM10 juta yang kemudiannya dipersetujui dan dijelaskan sepenuhnya oleh Liow pada 29 Mei 2023.

 

Selain pembayaran kompaun, penyelesaian kes itu turut melibatkan pelucuthakan bon bernilai RM647,366 serta pelucuthakan aset-aset yang telah disita oleh pihak berkuasa.

 

 

Artikel berkaitan: Nicky Liow dibebaskan sepenuhnya daripada 26 pertuduhan pengubahan wang haram RM36 juta - Peguam

 

AGC berkata, susulan penyelesaian kompaun tersebut, pihak pendakwaan menarik balik kesemua 26 pertuduhan terhadap Liow selaras dengan peruntukan Seksyen 92 AMLA.

 

Pada 15 Jun 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor kemudiannya memerintahkan Liow supaya dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan yang dihadapinya.

 

Penjelasan AGC itu dibuat susulan perhatian umum terhadap kes berprofil tinggi berkenaan dan bertujuan memperincikan asas perundangan yang digunakan dalam proses penyelesaian kes tersebut.

 

 

 

 

 

 

Pada 29 Julai 2026, peguam Liow memaklumkan anak guamnya telah dibebaskan sepenuhnya daripada 26 pertuduhan membabitkan dakwaan pengubahan wang haram berjumlah RM36 juta selepas proses kompaun yang dibenarkan di bawah undang-undang.

 

AGC menegaskan bahawa keputusan menawarkan kompaun dan menarik balik pertuduhan dibuat berdasarkan penelitian terhadap representasi serta keterangan yang tersedia, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa ketika itu. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved