26 pertuduhan ditarik selepas Nicky Liow bayar kompaun RM10 juta

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 3:09 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 26 pertuduhan ditarik selepas Nicky Liow bayar kompaun RM10 juta

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik kesemua 26 pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Liow Soon Hee atau Nicky Liow selepas ahli perniagaan itu membayar kompaun RM10 juta, tiga tahun lalu.

AGC dalam kenyataan berkata, kompaun itu ditawarkan selepas surat representasi dikemukakan pihak Nicky Liow diteliti dan dikaji secara terperinci berdasarkan keseluruhan keterangan sedia ada serta penilaian dan pertimbangan pihak pendakwaan.

Katanya, jumlah kompaun tersebut dipersetujui Nicky Liow dan dibayar pada 29 Mei 2023, manakala penyelesaian berkenaan turut merangkumi pelucuthakan bon berjumlah RM647,366 serta harta-harta yang disita.

“Lanjutan daripada pembayaran kompaun tersebut selaras dengan peruntukan Seksyen 92 Akta 613, Jabatan ini telah menarik balik pertuduhan terhadap Nicky Liow.

“Pada 15 Jun 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam telah memerintahkan agar Nicky Liow dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan,” katanya.

Dalam pada itu, AGC menegaskan Nicky Liow tidak pernah dilepaskan tanpa sebarang tindakan undang-undang apabila beliau sebelum itu didakwa dengan 26 pertuduhan atas kesalahan pengubahan wang haram pada 12 April 2022 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor.

Kesemua pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] dengan kes berkenaan ditetapkan untuk perbicaraan pada beberapa tarikh antara Julai hingga September 2023.

Bagaimanapun, Nicky Liow melalui peguamnya, Tetuan Rajpal, Firah dan Vishnu mengemukakan surat representasi bertarikh 15 Disember 2022 dan 6 April 2023 kepada AGC bagi memohon kesemua 26 pertuduhan terhadapnya dikenakan kompaun di bawah Seksyen 92 Akta 613.

Menurut AGC, keputusan yang diambil itu selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan selain dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan keterangan hasil siasatan secara keseluruhan.

“Ia juga telah dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan keterangan daripada hasil siasatan secara keseluruhan tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam dengan mengambil kira integriti proses pendakwaan serta keperluan untuk memastikan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah,” katanya. – UTUSAN

The post 26 pertuduhan ditarik selepas Nicky Liow bayar kompaun RM10 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved