
DINOBATKAN sebagai penerima Anugerah Daya Usaha Inovasi Putra sempena Majlis Anugerah Naib Canselor UPM 2026 baru-baru ini menjadi momen yang cukup berharga buat Muhammad Nik Baihaqi Taiki, 23, apabila kerja kerasnya selama ini membuahkan hasil.
Menurut pelajar Bacelor Sains Komputer (Pengkomputeran Multimedia) dengan Kepujian di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, dia melihat anugerah tersebut sebagai balasan kepada segala kegagalan, percubaan dan proses belajar selama ini.
“Antara kriteria utama penganuerahan ini adalah penglibatan dalam projek atau inisiatif berteraskan kreativiti, inovasi dan penyelesaian baharu serta mampu memberi impak kepada kampus, masyarakat, industri atau negara.
“Di samping itu, pihak UPM juga melihat bagaimana seseorang pelajar mampu mengaplikasikan ilmu secara praktikal untuk menyelesaikan masalah sebenar.
“Untuk pencalonan ini, saya membawakan 12 inovasi merentas teknologi, pendidikan, pertanian, produk dan perkhidmatan,” katanya yang berasal dari Mukah, Sarawak.

Cerita anak bongsu daripada empat beradik itu, sepanjang di UPM, dia banyak melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, inovasi, teknologi, kepimpinan dan penganjuran program.
“Saya juga aktif menyertai pertandingan inovasi dan keusahawanan di peringkat universiti, kebangsaan serta antarabangsa.
“Bagi saya, kehidupan universiti bukan hanya tentang menghadiri kuliah, tetapi ruang untuk menguji apa yang saya pelajari dalam kehidupan sebenar,” katanya yang pernah menerima Anugerah Citra Niaga 2025 dan Anugerah Koperasi Siswa Harapan.

Tambah pemuda yang mesra disapa Nik Baihaqi itu, antara pencapaian lain paling bermakna baginya ialah Rising Star Start-Up Award dan Silver Medal dalam International DICE 3.0 melalui projek AquaVerse.
“Saya bersama pasukan memperoleh tempat ketiga Business Combat 2026 dalam pertandingan peringkat kebangsaan yang melibatkan lebih 20 institusi pengajian tinggi seluruh negara.
“Dari sudut kepimpinan pula, saya memegang amanah sebagai Timbalan Pengerusi Koperasi Keusahawanan Siswa Universiti Putra Malaysia Berhad, Timbalan Pengerusi GENERASI Sarawak, Parlimen Belia Malaysia dan
Pengerusi GENERASI Cabang UPM,” ujarnya yang juga merupakan pengasas PutraAcara, Warong Sambal Geprek dan Fajr Worldwide.
Menurut Nik Baihaqi, dia juga mahu terus mengembangkan diri dalam bidang teknologi, kecerdasan buatan (AI), keusahawanan dan industri kreatif selepas ini.
“Ketika ini, saya aktif membina pengalaman sebagai AI Creative & Business Strategist. Saya mahu mengembangkan usaha digital yang sedang dibina bersama rakan kolaborasi, Muhammad Mahmmoud El-Qudaffy.
“Usaha ini bukan sekadar menghasilkan kandungan semata-mata, malah mampu melahirkan produk, perkhidmatan dan penyelesaian AI yang benar-benar memberi nilai kepada individu serta perniagaan,” katanya.
Pada masa hadapan, Nik Baihaqi bukan sahaja ingin berjaya dalam perniagaan, malah membawa ilmu, jaringan dan peluang itu kepada lebih ramai anak muda, khususnya mereka yang datang daripada latar belakang sepertinya.
“Saya datang dari kawasan pedalaman, dan saya tahu bagaimana rasanya apabila peluang dan pendedahan itu jauh daripada kita.
“Bagi saya, kalau perjalanan saya hanya mengubah kehidupan saya seorang, mungkin itu kejayaan.
“Tetapi kalau perjalanan itu mampu membuka jalan untuk orang lain juga, itulah impak yang saya mahu tinggalkan,” tuturnya.
The post Nik Baihaqi unggul dalam penciptaan inovasi UPM appeared first on Kosmo Digital.


