
PETALING JAYA – Ahli korporat, Nik Mustapha Nik Mohamed dipilih sebagai Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang baharu bagi tempoh dua tahun sehingga 2028.
Nik Mustapha menggantikan Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman yang telah memimpin MEF selama enam tahun.
Mengulas mengenai pelantikannya, Nik Mustapha berkata, beliau akan meneruskan peranan MEF sebagai suara utama majikan sektor swasta, di samping memperkukuh keupayaannya untuk bertindak balas terhadap persekitaran perniagaan, ekonomi dan buruh yang berubah pantas.
Katanya, keutamaan MEF jelas iaitu memastikan kebimbangan dan realiti yang dihadapi majikan diwakili secara berkesan dalam perbincangan dasar negara.
“Perniagaan hari ini menghadapi persekitaran yang berubah pantas yang dicorakkan oleh ketidaktentuan ekonomi global, gangguan teknologi, peraturan buruh yang berkembang, dan tekanan daya saing yang semakin meningkat.
“MEF akan terus memperjuangkan dasar yang praktikal, seimbang dan berasaskan bukti, di samping menggalakkan penglibatan membina dengan Kerajaan, kesatuan sekerja dan pihak berkepentingan yang lain,” katanya.
Nik Mustapha mempunyai 40 tahun pengalaman dalam pengurusan kanan dan tenaga kerja merentasi syarikat multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan.
Beliau merupakan sebahagian daripada kepimpinan kanan bersama Unilever, Sterling Drug (kini Haleon), Rank Xerox (kini Fuji Xerox), PNB dan Felda Global Ventures.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis dan Naib Presiden MEF kini merupakan Pengerusi Akademi MEF serta Ketua Pegawai Eksekutif/Pengurus Besar Professional Golf of Malaysia.
Nik Mustapha juga menyumbang kepada beberapa institusi kebangsaan, termasuk Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan, Jawatankuasa Teknikal Bersama Jaminan Kualiti TVET, serta ahli lembaga pengarah Perkeso dan IIUM Schools Sdn. Bhd.
Pengalaman luas beliau Mustapha dalam pengurusan perniagaan, pembangunan modal insan, dan kepimpinan institusi akan memperkukuh lagi keupayaan MEF untuk bertindak balas terhadap keperluan majikan yang sentiasa berkembang dan ekonomi yang lebih luas.
The post Nik Mustapha Presiden baharu MEF appeared first on Kosmo Online.


