Nik Nazmi selesai beri keterangan kepada JAIS lebih tiga jam

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 4:04 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Nik Nazmi selesai beri keterangan kepada JAIS lebih tiga jam

SHAH ALAM, 27 OKT: Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad selesai memberi keterangan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini berhubung siasatan kes khalwat yang dikaitkan dengannya.

Nik Nazmi tiba di pejabat JAIS jam 9.15 pagi dengan memakai kemeja putih, kot hitam dan pelitup muka sebelum meninggalkan bangunan itu pada jam 1.30 tengah hari.

Peguam Syarie Muhammad Amirul Ashraf A Ghani berkata kehadiran anak guamnya adalah bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Menurutnya, keterangan Nik Nazmi dan wanita yang dikaitkan dalam kes berkenaan diambil secara berasingan.

"Dari sudut siasatan, kita sudah memberikan kerjasama. Jadi, kami menunggu sama ada pertuduhan akan dibuat atau tidak. Perkara itu akan ditentukan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor," katanya ketika ditemui di pekarangan bangunan JAIS di sini hari ini, lapor Berita Harian.

Mengulas kemungkinan tindakan diambil terhadap individu yang didakwa mengintip pergerakan Nik Nazmi sebelum menyebarkan video berkaitan, Muhammad Amirul Ashraf berkata, perkara itu akan dibangkitkan kemudian.

Sementara itu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad mengesahkan kehadiran figura awam berkenaan di ibu pejabat jabatan itu, namun enggan mengulas lanjut.

Media sebelum ini melaporkan Nik Nazmi mengesahkan dirinya individu yang ditahan JAIS dalam kes berdua-duaan dengan seorang wanita bukan mahram di sebuah tempat tertutup di Petaling pada 6 petang, 15 Oktober lalu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved