SHAH ALAM - Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Keadilan (BiPPA) mendesak Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh memberikan penjelasan terhadap kenyataan beliau berhubung sejarah para sahabat Nabi Muhammad SAW.
Pengerusi BiPPA, Amidi Abdul Manan berkata, jika tiada sebarang penjelasan maka pimpinan tertinggi Pas perlu menyatakan sikap dan pendirian terhadap isu ini.
Menurutnya, Pas perlu memohon maaf kepada masyarakat Islam di Malaysia kerana kenyataan Nik Muhammad Zawawi yang boleh mencemarkan kemurnian Islam.
"Rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu pernyataan yang terkandung kebohongan terhadap para Ashabi Rasulullah SAW yang dikeluarkan beliau.
"Tohmahan yang sehingga ini, kita menanti penjelasan setelah lebih 24 jam ia berlegar dalam domain komunikasi awam di Malaysia.
"Islam di Malaysia ini terancam bukan kerana kepelbagaian agama, kaum dan budaya tetapi, Islam terancam kerana akhlaq buruk seorang yang mengakui dirinya pewaris tugasan para nabi tetapi biadab kepada para sahabat baginda SAW," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, tular siri video memaparkan ceramah Nik Muhammad Zawawi mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib yang mempunyai sejarah hidup keji sebelum memeluk Islam.
Antara lain setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang "bapa ceti" yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman Jahiliyah.
Sayidina Umar pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.
Difahamkan kenyataan itu disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu, pada hujung minggu lalu.
Tambah Amidi, BiPPA menasihatkan Nik Muhammad Zawawi agar mencontohi akhlak Rasulullah SAW yang tidak menyebut-nyebut perilaku menyimpang dari norma Islam yang dilakukan oleh para sahabat baginda ketika masih jahiliyah.
Jelasnya, jasa para sahabat Rasulullah SAW terlalu besar kepada Islam.
"Pengorbanan yang terpaksa mereka tempuh, begitu juga penderitaan yang dialami mereka, bukti keyakinan dan keimanan serta kesetiaan terhadap Rasulullah SAW yang tidak pernah disangsikan.
"Kita faham dan kita yakini betul, kekuatan ajaran al-Quran yang mempunyai kekuatan transformatif terhadap diri dan masyarakat. Lantas kenapa diada-adakan contoh yang jelik dan pelik kepada para sahabat.
"Rasulullah amat mengenali para sahabatnya, tidak pernah mengungkit perilaku buruk sahabatnya ketika masih belum beriman," ulasnya.



