Nik Zawawi perlu tarik balik ucapan, mohon maaf terbuka

LocalPolitics
12 May 2026 • 6:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nik Zawawi perlu tarik balik ucapan, mohon maaf terbuka
Sheikh Umar

JOHOR BAHRU – Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali menggesa Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh menarik balik kenyataan serta memohon maaf secara terbuka susulan ucapan yang didakwa menyentuh dan memperlekehkan beberapa sahabat Rasulullah SAW.

Menurut Sheikh Umar yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, isu berkenaan perlu dipandang serius kerana melibatkan sensitiviti umat Islam serta kedudukan para sahabat Nabi dalam tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau berkata, para sahabat Rasulullah SAW mempunyai kedudukan yang tinggi dan dimuliakan, justeru sebarang perbahasan berkaitan kehidupan mereka perlu dilakukan secara beradab, berhati-hati dan bersandarkan riwayat sahih.

“Sebarang bentuk ucapan yang boleh membawa persepsi penghinaan, merendahkan martabat atau mempermainkan para sahabat Nabi tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila datang daripada seorang tokoh agama dan Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Seputeh itu dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib mempunyai sejarah hidup yang keji sebelum memeluk Islam.

Antara lain beliau mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang ‘bapa ceti’ yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman Jahiliyah, Sayidina Umar pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.

Difahamkan kenyataan itu disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu, pada hujung minggu lalu.

Sheikh Umar berkata, permohonan maaf terbuka perlu dibuat memandangkan rakaman ucapan berkenaan telah tersebar luas dan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Pada masa sama, beliau turut menggesa pihak berkuasa agama dan pihak berkaitan menjalankan siasatan secara telus serta adil bagi memastikan isu berkaitan kesucian agama tidak dipolitikkan atau dipermainkan oleh mana-mana pihak.

Tambah beliau, Islam mengajar umatnya supaya memuliakan para sahabat Rasulullah SAW kerana golongan itu merupakan generasi yang membawa, mempertahankan dan menyebarkan agama Islam sehingga sampai kepada umat hari ini.

Katanya lagi, kebebasan berceramah dan berpolitik tidak boleh dijadikan alasan untuk mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti akidah serta adab terhadap tokoh-tokoh agung Islam.