Nikmati kehijauan alam di Akekchep

EnvironmentTravel
13 Sep 2026 • 10:19 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Nikmati kehijauan alam di Akekchep

PERCUTIAN bukan sekadar untuk berehat, malah boleh berubah menjadi sebuah perjalanan untuk mengenali alam, memahami budaya dan menyedari bahawa keindahan paling bernilai ialah flora dan fauna.

Bagi pencinta alam yang mencari destinasi percutian jauh daripada hiruk-pikuk kota, Akekchep di Taman Negeri Royal Belum, Perak menawarkan pengalaman cukup berbeza.

Terletak di kawasan Sungai Tiang, destinasi ekopelancongan itu membawa pengunjung menyelami keindahan hutan hujan tropika sambil menikmati pengalaman berinteraksi dengan alam dan komuniti Orang Asli Jahai.

Menurut Naib Pengerusi Koperasi Orang Asli Sungai Tiang (KOAST), Azhar Ruah, keistimewaan Akekchep terletak pada namanya yang membawa maksud ‘dilarang’ atau ‘jangan tangkap’ dalam bahasa Orang Asli Jahai.

“Nama tersebut cukup sinonim dengan konsep pemuliharaan yang diterapkan di kawasan ini, khususnya bagi menjaga populasi ikan air tawar yang mendiami sungai.

“Pengunjung berpeluang melihat ikan kelah dan tengas berenang bebas dalam air sungai yang jernih. Malah, aktiviti memberi makan ikan turut menjadi antara pengalaman yang menarik,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di Kampung Sungai Tiang baru-baru ini.

Tambahnya, aktiviti menangkap ikan tidak dibenarkan bagi memastikan habitat semula jadinya terus terpelihara.

Image from: Nikmati kehijauan alam di Akekchep
PENGUNJUNG boleh bermain dengan ikan sungai di Akekchep, Royal Belum, Perak.

Untuk makluman, Royal Belum merupakan antara kawasan hutan hujan tertua di dunia, berusia lebih 130 juta tahun, dengan keluasan kira-kira 117,500 hektar.

Perjalanan menuju Akekchep juga menjadi sebahagian daripada pengalaman percutian. Pengunjung lazimnya memulakan perjalanan dari Pulau Banding, sebelum meneruskan pengembaraan menaiki bot merentasi Tasik Temenggor.

Dari permukaan tasik, panorama hutan yang menghijau mengelilingi kepulauan kecil memberikan gambaran awal tentang betapa istimewanya kawasan Royal Belum.

Tasik Temenggor yang luas turut menjadi laluan utama untuk meneroka pelbagai lokasi menarik di sekitar kompleks hutan Belum-Temengor.

Ujar Azhar, setibanya di Akekchep, aktiviti tidak terhenti pada menikmati santuari ikan.

Sebaliknya, pengunjung boleh mencuba aktiviti seperti jungle trekking, tubing, berakit dan menyusuri sungai.

“Bagi mereka yang gemarkan pengalaman lebih dekat dengan alam, aktiviti merentas hutan memberikan peluang mengenali tumbuhan dan herba di kawasan berkenaan.

“Sesetengah pakej turut menawarkan pengalaman mengenali kehidupan masyarakat Jahai serta demonstrasi kemahiran tradisional seperti penggunaan sumpit,” ujarnya.

Menariknya, pengalaman di Akekchep bukan sekadar tentang rekreasi, malah turut memperlihatkan bagaimana ekopelancongan boleh menjadi sumber ekonomi kepada komuniti setempat.

Kata Azhar, sejak diperkenalkan sebagai produk pelancongan pada tahun 2016, pengurusan Akekchep melibatkan penduduk Kampung Sungai Tiang, manakala penjagaan santuari ikan menjadi antara tanggungjawab penting komuniti.

Bagi pengunjung yang mahu melengkapkan perjalanan, Royal Belum turut menawarkan pelbagai pengalaman lain seperti melihat bunga rafflesia, mengamati burung enggang, meneroka air terjun dan mencari jejak hidupan liar.

Kawasan itu turut menjadi habitat kepada ratusan spesies burung serta pelbagai mamalia, sekali gus menjadikannya destinasi menarik untuk pencinta fotografi alam dan pengembara yang mahu merasai pengalaman hutan sebenar.

“Daripada perjalanan menaiki bot, kejernihan sungai, ikan kelah yang berenang bebas hinggalah kehidupan komuniti Jahai yang dekat dengan alam, semuanya ada di sini,” katanya.

The post Nikmati kehijauan alam di Akekchep appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved