Tokyo kota anime, fesyen dan teknologi

6 Sep 2026 • 11:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tokyo kota anime, fesyen dan teknologi

JEPUN sentiasa mempunyai daya tarikan tersendiri terutama buat mereka yang gemarkan budaya pop, fesyen, makanan dan suasana bandar yang sibuk tetapi tersusun.

Percutian selama lima hari empat malam ke Tokyo pada awal musim panas kali ini membuka peluang untuk melihat sisi Jepun dengan perspektif yang berbeza daripada hiruk-pikuk Akihabara yang menjadi syurga pencinta anime dan permainan, panorama laut Kamakura, hinggalah kemeriahan Shibuya yang tidak pernah sunyi.

Perjalanan bermula sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Narita. Dari lapangan terbang, perjalanan menaiki pengangkutan awam menuju ke Akihabara mengambil masa kira-kira satu jam.

Setibanya di kawasan ini, penginapan di Apa Hotel Akihabara menjadi tempat untuk meletakkan bagasi sebelum meneruskan penerokaan.

Akihabara sememangnya tidak mengecewakan kerana setiap sudut seolah-olah membawa pengunjung masuk ke dunia anime dan permainan Jepun. Kedai yang menjual figura anime, kad koleksi, barangan elektronik serta mesin claw menawarkan pengalaman membeli-belah yang cukup berbeza.

Menjelang petang, perjalanan diteruskan dengan menaiki kereta api ke Shinjuku. Antara tarikan yang menjadi perhatian ialah kepala Godzilla yang menghiasi bangunan di kawasan Kabukicho serta papan iklan kucing 3D yang kelihatan seolah-olah hidup.

Seterusnya, perjalanan diteruskan dengan berjalan kaki mengelilingi daerah Kabukicho sebelum menikmati makan malam berupa makanan jalanan Jepun.

Tidak lengkap kunjungan ke kawasan ini tanpa singgah di beberapa jenama popular seperti Onitsuka Tiger, GU dan Uniqlo.

Hari kedua membawa pengalaman yang berbeza apabila perjalanan diteruskan dari Akihabara menuju Kamakura.

Salah satu pengalaman menarik ialah menaiki Enoden, kereta api ikonik yang menghubungkan beberapa kawasan di sekitar Kamakura dan Enoshima.

Perjalanan dengan Enoden memberikan peluang menikmati pemandangan bandar kecil, kawasan kediaman dan panorama laut yang cukup menarik.

Bagi peminat anime, satu lokasi yang sering menjadi tumpuan ialah kawasan persimpangan yang dikaitkan dengan anime Slam Dunk.

Di sini, suasana Jepun yang sebenar bertemu dengan memori daripada layar animasi, menjadikannya lokasi menarik untuk bergambar. Perjalanan kemudian diteruskan ke Pantai Yuigahama untuk menikmati pemandangan laut sebelum makan tengah hari di Pacific Drive-In yang menawarkan suasana menghadap laut.

Selepas itu, berjalan santai di kawasan Shichirigahama memberikan peluang untuk menikmati suasana pesisir pantai dengan lebih tenang.

Petang pula diisi dengan kunjungan ke Enoshima Aquarium dengan harga tiket sekitar 2,800 yen (RM71) bagi seorang pengunjung. Selepas seharian meneroka Kamakura dan Enoshima, perjalanan kembali ke hotel di Akihabara untuk berehat dan bersiap bagi makan malam.

Namun, malam masih belum berakhir apabila kunjungan diteruskan ke GiGO, pusat hiburan dan permainan yang mempunyai tujuh tingkat untuk diterokai.

Image from: Tokyo kota anime, fesyen dan teknologi
Penulis bergambar bersama patung Hachiko yang menjadi tugu ikonik di Shibuya, Tokyo, Jepun yang menjadi bukti kesetiaan haiwan berkait kisah benar yang terjadi pada tahun 1932.

Daripada permainan arked hingga mesin hadiah, tempat ini membuktikan bahawa budaya permainan Jepun bukan sekadar untuk kanak-kanak.

Hari ketiga pula lebih dekat dengan budaya anime dan lokasi ikonik Tokyo. Selepas sarapan di Akihabara, aktiviti bermula dengan pencarian figura anime sebelum menaiki kereta api ke Shinjuku.

Antara pengalaman yang menarik ialah menghasilkan semula beberapa babak daripada anime Your Name (Kimi no Na wa), termasuk kunjungan ke Suga Shrine di Yotsuya yang terkenal dengan tangga ikoniknya.

Dari Yotsuya, perjalanan diteruskan ke Tokyo Tower sebelum meneroka kawasan Minato untuk mencari sudut pemandangan terbaik menara berwarna jingga-merah itu.

Seterusnya, destinasi bertukar kepada Harajuku yang dikenali sebagai antara pusat fesyen terkenal Tokyo.

Takeshita Street menjadi lokasi untuk mencari cenderamata, barangan fesyen dan makanan jalanan. Hidangan manis seperti Harajuku crepe pula menjadi pilihan untuk mengisi tenaga sebelum meneruskan perjalanan.

Antara persinggahan lain termasuk kedai Cas yang menawarkan sarung telefon dengan reka bentuk unik, Harry Potter Shop dan Liberty Walk yang menarik perhatian peminat kereta sport.

Dari Harajuku, perjalanan diteruskan dengan berjalan kaki menuju Shibuya selama kira-kira 30 hingga 40 minit sambil menikmati suasana bandar dan melakukan window shopping.

Shibuya kemudian menjadi destinasi utama untuk menghabiskan malam. Bagi pencinta muzik, kedai rekod yang mempunyai lapan tingkat di situ menawarkan pengalaman mencari koleksi vinyl yang menarik. Selepas menikmati makan malam dengan ramen Jepun, penerokaan diteruskan ke Mega Don Quijote, Nintendo Store di Shibuya PARCO dan Adores Arcade.

Tidak lengkap kunjungan ke Shibuya tanpa bergambar di Shibuya Crossing dan bersama patung Hachiko sebelum kembali ke hotel.

Hari keempat bermula dengan sarapan berupa nasi kari Jepun sebelum sekali lagi meneroka Akihabara untuk mencari figura anime dan barangan elektronik.

Kebetulan hujan turun hampir sepanjang hari, rancangan luar terpaksa dikurangkan dan aktiviti lebih tertumpu kepada tempat-tempat tertutup.

Keadaan itu sebenarnya memberi peluang untuk menikmati pengalaman membeli-belah dengan lebih santai.

Perjalanan diteruskan ke Ginza yang terkenal dengan suasana membeli-belahnya. Antara lokasi yang menarik perhatian ialah Uniqlo yang mempunyai 12 tingkat, MUJI dan Onitsuka Tiger.

Peminat jam pula boleh melihat koleksi di kedai jam Seiko tempatan sebelum berjalan menyusuri Suzuran Street. Hari terakhir di Tokyo ditutup dengan makan malam di Shinjuku, sebelum kembali ke hotel untuk mengemas barangan.

Hari kelima menjadi penutup kepada percutian lima hari empat malam ini. Selepas daftar keluar, perjalanan diteruskan ke stesen untuk menuju ke Lapangan Terbang Haneda sebelum penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

Walaupun tempohnya singkat, perjalanan ini memperlihatkan Tokyo dari pelbagai sisi, sebuah kota yang menggabungkan teknologi, budaya pop, fesyen, makanan, sejarah dan kehidupan moden dalam satu pengalaman yang sukar dilupakan.

Daripada anime di Akihabara, laut di Kamakura hingga cahaya neon Shibuya, setiap hari meninggalkan cerita tersendiri yang menjadikan Jepun sebuah destinasi yang sentiasa mengundang rasa ingin kembali.

The post Tokyo kota anime, fesyen dan teknologi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved