Nilai kekayaan Elon Musk dijangka mencapai $1 trilion dengan penyenaraian awam SpaceX, sekaligus menjadikan pemilik syarikat Tesla dan SpaceX berkenaan sebagai trilionwan pertama di dunia. Pada hari ini, nilai kekayaan atas kertas untuk Elon Musk mencapai $726 bilion, dan salah satu sebab nilai kekayaan berkenaan tinggi adalah disebabkan harga sesaham Tesla yang sangat tinggi didagangkan.
Kini, dengan SpaceX dijangka melakukan penyenaraian awam tidak lama lagi, ia sekaligus dijangka akan terus meningkatkan nilai kekayaan atas kertas untuk Elon Musk melangkaui $1 trilion.

Ini juga sekaligus akan memposisikan jarak antara Elon Musk dan manusia kedua terkaya, iaitu Larry Page (pengasas Google) dengan lebih jauh lagi. Pengasas Google kini mempunyai nilai kekayaan sebanyak $306 bilion.
Untuk makluman, walaupun harga saham yang didagangkan tinggi, pendapatan yang dijana Tesla dan SpaceX masih sedikit berbanding yang lain. Sebagai perbandingan ringkas, pada 2025, Tesla menjana pendapatan sekitar $95 bilion, dan SpaceX sebanyak $18.67 bilion, sementara Google (Alphanet) telah menjana pendapatan melangkaui $400 bilion pada 2025 yang lepas.

