Nilai pasaran RM444 juta buka peluang pertumbuhan United Asiapac - MBSB Research  

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 12:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Nilai pasaran RM444 juta buka peluang pertumbuhan United Asiapac - MBSB Research   Image from: Nilai pasaran RM444 juta buka peluang pertumbuhan United Asiapac - MBSB Research   hamden29/07/2026 - 12:54 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Julai - Prospek pasaran perkhidmatan fishing serta kerja penutupan dan penamatan telaga minyak (P&A) di Malaysia yang dijangka berkembang pesat dalam tempoh beberapa tahun akan datang dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan United Asiapac Energy Bhd (UAEB), yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 19 Ogos 2026.

 

MBSB Research dalam nota penyelidikan berkata, nilai pasaran perkhidmatan fishing dan P&A di Malaysia diunjurkan meningkat daripada RM165 juta pada 2024 kepada RM444 juta menjelang 2028, mewakili kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 28.1%.

 

Pertumbuhan itu dijangka memberi manfaat kepada syarikat yang terlibat secara langsung dalam segmen intervensi telaga dan penamatan operasi telaga, termasuk UAEB yang memberi tumpuan kepada perkhidmatan fishing, P&A serta penyelesaian integriti lubang telaga..

 

Kata firma itu lagi, antara pemangkin utama pertumbuhan subsektor itu ialah sifat perkhidmatan fishing dan P&A yang diperlukan sepanjang kitaran hayat sesebuah telaga, bermula daripada kerja-kerja penggerudian sehingga proses penutupan kekal.

 

"Selain itu, kebanyakan kontrak bagi perkhidmatan tersebut dilaksanakan secara on-call, membolehkan pelanggan mengeluarkan pesanan tambahan ketika berlaku situasi kecemasan, sekali gus berpotensi meningkatkan margin keuntungan penyedia perkhidmatan," katanya.

 

MBSB menambah, prospek subsektor itu turut disokong oleh beberapa faktor lain termasuk permintaan global yang berterusan terhadap minyak, khususnya bagi sektor pengangkutan jalan raya yang menyumbang kira-kira 40% daripada penggunaan minyak dunia, selain permintaan daripada industri petrokimia dan pembuatan plastik.

 

Di peringkat domestik, permintaan terhadap minyak dan gas kekal stabil bagi menyokong sektor pengangkutan, logistik, pembinaan, pembuatan serta penjanaan tenaga.

 

Selain itu, semakin banyak medan hidrokarbon matang di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang menghampiri penghujung hayat operasi dijangka meningkatkan keperluan terhadap kerja-kerja P&A bagi memenuhi keperluan pematuhan kawal selia.

 

Bakal Terbitkan 139.22 juta Saham Biasa Baharu

UAEB merupakan pemain baharu dalam sektor perkhidmatan minyak dan gas yang beroperasi dalam segmen khusus intervensi telaga, dengan kepakaran dalam perkhidmatan fishing, P&A, rumusan integriti lubang telaga serta sidetracking.

 

Syarikat itu akan menerbitkan 139.22 juta saham biasa baharu menerusi tawaran awam permulaan (IPO), termasuk 37.5 juta saham yang dijamin pengambilannya, manakala baki 101.72 juta saham diperuntukkan kepada pelabur terpilih.

 

Dari segi penilaian, MBSB Research menetapkan nilai saksama (FV) UAEB pada RM0.39 sesaham berdasarkan gandaan 15 kali pendapatan sesaham (EPS) unjuran FY27 sebanyak 2.6 sen, namun tidak memberikan sebarang penarafan.

 

Premium penilaian itu disokong oleh pemilikan peralatan downhole khusus yang membolehkan syarikat mengurangkan kos sewaan pihak ketiga, kedudukan hutang yang rendah, keupayaan menjana aliran tunai operasi yang kukuh serta kedudukan dalam segmen pasaran yang dijangka berkembang pesat.

 

Walaupun begitu, penilaian tersebut masih mengambil kira beberapa kekangan termasuk operasi yang masih tertumpu di Malaysia, saiz permodalan pasaran yang lebih kecil selepas penyenaraian di Pasaran ACE serta persaingan daripada pemain antarabangsa yang memiliki teknologi dan penyelesaian bersepadu yang lebih meluas.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan berpandangan jurang penilaian itu berpotensi mengecil apabila UAEB mengembangkan operasi, memperluaskan portfolio perkhidmatan dan mengekalkan pertumbuhan pendapatan pada tahun-tahun akan datang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved