hamden29/07/2026 - 09:15 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Julai - Projek pusat data pertama Eco World Development Group Berhad (Eco World) di Eco Business Park V (EBP V) Puncak Alam dijangka menyumbang keuntungan sebelum cukai (PBT) sekitar RM110 juta hingga RM120 juta setahun apabila beroperasi sepenuhnya, sekali gus membuka lembaran baharu kepada segmen hartanah pelaburan syarikat.
RHB Research berkata, pusat data yang dibangunkan secara build-to-lease itu kini berada di landasan tepat untuk disiapkan pada separuh kedua 2027.
Projek berkenaan dibangunkan menerusi perjanjian pembinaan dan pajakan selama 20 tahun yang dimeterai bersama Pearl Computing Malaysia pada Februari 2025, melibatkan nilai sewaan keseluruhan sebanyak RM4.8 bilion, dengan opsyen lanjutan sehingga 10 tahun lagi.
Menurut firma penyelidikan itu, pusat data berkenaan akan mempunyai dua dewan data, manakala sebahagian besar hasil sewaan dijangka mula direkodkan sebaik sahaja dewan data pertama siap memandangkan keseluruhan infrastruktur utama tapak turut akan beroperasi pada ketika itu.
"Berdasarkan anggaran kami, aset pusat data ini berpotensi menyumbang sekitar RM110 juta hingga RM120 juta kepada PBT Eco World setiap tahun apabila kedua-dua dewan data beroperasi sepenuhnya," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Pada masa sama, penyertaan rakan usaha sama (JV) yang mengambil pegangan sebanyak 20% dalam aset pusat data itu turut dilihat membantu mengurangkan komitmen pembiayaan Eco World bagi pembangunan aset pelaburan berskala besar tersebut.
Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan tersebut memberi petunjuk bahawa strategi Eco World untuk membina portfolio aset pelaburan yang mampu menjana aliran pendapatan berulang kini semakin menunjukkan kemajuan.
Perluas Model Build-To-Lease
Selain pusat data, Eco World turut merancang untuk memperluaskan model build-to-lease ke dalam pembangunan hartanah perindustrian lain bagi mewujudkan sumber pendapatan yang lebih stabil dalam jangka panjang.
Dengan pengalaman luas dalam pembangunan taman perindustrian serta rangkaian pelanggan yang kukuh, firma penyelidikan itu berpandangan syarikat berada pada kedudukan baik untuk menarik lebih banyak projek build-to-lease pada masa hadapan.
"Bagaimanapun, kapasiti kunci kira-kira dijangka menjadi faktor utama yang menentukan jumlah projek hartanah pelaburan yang mampu dilaksanakan syarikat," katanya
Dalam perkembangan berkaitan, RHB Research berkata, berdasarkan taklimat pada lawatan sehari di EBP V baru-baru ini, pengurusan memberitahu taman perdagangan itu kini hanya berbaki sekitar 20 hingga 30 ekar tanah untuk dijual atau dibangunkan selepas menikmati permintaan yang memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Harga tanah perindustrian di kawasan tersebut juga meningkat ketara kepada sekitar RM130 hingga RM140 sekaki persegi, berbanding kira-kira RM75 sekaki persegi sebelum pandemik COVID-19 pada 2019.
Sehubungan itu, Eco World tidak bercadang memperoleh tanah tambahan bagi melanjutkan pembangunan EBP V, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada projek baharu di Johor termasuk Eco Business Park 8 (EBP 8) di Kulai dan Eco Business Park 9 di Ibrahim Technopolis (IBTEC) yang dijangka dilancarkan masing-masing pada akhir tahun kewangan 2026 dan tahun kewangan 2028.
RHB Research mengekalkan saranan "Beli" terhadap saham Eco World dengan harga sasaran RM2.78 sesaham, mewakili potensi kenaikan sekitar 34%, selain unjuran pulangan dividen kira-kira 4% bagi tahun kewangan 2026. - DagangNews.com





