SHAH ALAM - Kerajaan wajar menilai semula perbelanjaan dalam sektor lain yang kurang kritikal tanpa mengorbankan sektor asas seperti kesihatan.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pemotongan dalam sektor kesihatan perlu dielakkan kerana ia merupakan sektor kritikal yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, sebarang pengurangan walaupun dilabel sebagai bukan kritikal berpotensi menjejaskan kecekapan operasi dan kualiti perkhidmatan kesihatan secara keseluruhan.
"Dalam keadaan sistem kesihatan awam yang sedia tertekan dengan isu fasiliti sesak, peningkatan penyakit tidak berjangkit serta kekurangan tenaga kerja, langkah ini berisiko memburukkan lagi keadaan.
"Kebajikan petugas kesihatan kini turut berada pada tahap membimbangkan dengan isu keletihan, beban kerja serta penghijrahan tenaga mahir yang semakin ketara," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan terdapat cadangan pemotongan peruntukan berjumlah RM3.06 bilion dari bajet Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
Justeru, Ahmad Fahmi menyuarakan kebimbangan bahawa pemotongan peruntukan dalam situasi tersebut hanya akan menambah tekanan dan melemahkan lagi sistem yang sudah pun rapuh.
Beliau memberitahu, ketelusan juga amat penting untuk kerajaan menjelaskan secara terperinci skop pemotongan, garis masa pelaksanaan dan langkah mitigasi bagi memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas.
"Dalam jangka sederhana dan panjang, kerajaan perlu mempercepat pelaksanaan reformasi sistem kesihatan seperti digariskan dalam Health White Paper, termasuk memperkukuh kerjasama strategik dengan sektor swasta bagi mengoptimumkan kapasiti dan mengurangkan tekanan terhadap sistem awam," ujarnya.
Menurut Ahmad Fahmi lagi, sistem kesihatan negara akan terus terdedah kepada krisis berulang tanpa reformasi jelas dan berani.
Dalam perkembangan sama, beliau menambah, KKM digesa tampil dengan pelan intervensi yang lebih agresif dan proaktif dalam mendepani cabaran semasa.
Tegasnya, kesihatan awam tidak boleh dijadikan sasaran mudah untuk penjimatan fiskal, sebaliknya ia adalah pelaburan strategik negara.
"Kegagalan melindunginya akan membawa implikasi yang jauh lebih besar kepada rakyat dan negara," tambah Ahmad Fahmi.






